Ringgit merosot kepada RM4.35 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit merosot kepada RM4.35 satu dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan pelabur menunggu data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Januari yang dijadual dikeluarkan pada Selasa untuk menjangkakan hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan AS akan datang.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.3575/3625 berbanding dolar AS daripada 4.3320/3350 ketika ditutup pada Jumaat minggu lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata harga kereta terpakai AS yang lebih tinggi dan data pekerjaan perkhidmatan menunjukkan angka inflasi mungkin lebih tinggi berbanding jangkaan justeru, hasil AS akan mengalami prestasi lebih baik sekali gus boleh melemahkan ringgit.

"Selain itu, peningkatan ketegangan AS-China juga menjejaskan mata wang negara Asia selepas Tentera Udara AS menembak jatuh satu lagi objek terbang yang kemungkinan milik China," katanya kepada Bernama.

Angka inflasi yang lebih tinggi akan membawa pasaran mengalami semula kemungkinan kadar faedah lebih tinggi bagi tempoh lebih lama.

Innes bagaimanapun berkata, sekiranya data IHP tidak melebihi kadar sebelumnya, keadaan makro yang semakin baik boleh memurahkan dolar AS.

Di peringkat domestik, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2837/2877 daripada 3.3089/3114 ketika ditutup pada Jumaat lalu dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2697/2739 daripada 3.2635/2663.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.6521/6574 daripada 4.6391/6424 pada Jumaat dan lemah berbanding pound British kepada 5.2447/2507 daripada 5.2404/2440.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini