Ringgit pulih semula, RM4.43 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit pulih semula, RM4.43 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit kembali pulih berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini menjelang pengeluaran minit mesyuarat terkini Jawatankuasa Pasaran Terbuka AS.

Pada 9 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.4350/4390 berbanding dolar berbanding penutupan Rabu 4.4420/4460.

Peniaga Activtrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata pasaran lebih berhati-hati menjelang pengeluaran minit itu memandangkan ia menawarkan petunjuk mengenai pandangan Rizab Persekutuan.

"Pandangan yang lebih menjurus kepada meningkatkan kadar faedah akan membawa kepada dasar kewangan yang lebih ketat dan ini boleh menyebabkan dolar AS terus meningkat berbanding ringgit ke paras 4.5000," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata peniaga dan pelabur juga akan mengambil sikap berhati-hati menjelang data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) pada Jumaat, yang akan menyediakan tahap unjuran Rizab Persekutuan pada mesyuarat 22 Mac.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2884/2918 daripada 3.2935/2968 pada Rabu dan naik berbanding dolar Singapura menjadi 3.3090/3122 dari 3.3157/3189 semalam.

Ringgit turut meningkat berbanding euro kepada 4.7060/7102 daripada 4.7258/7301 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3451/3499 daripada 5.3655/3703 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini