Ringgit tebus semula kerugian semalam - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit tebus semula kerugian semalam


KUALA LUMPUR: Ringgit menebus kembali kerugian yang dicatat semalam dan dibuka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), menjelang pengumuman data indeks harga pengguna (IHP) Amerika Syarikat untuk Januari lewat hari ini, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.3480/3525 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin 4.3575/3625.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dolar AS mula lemah di tengah-tengah sentimen risiko yang lebih baik sementara peniaga wang terus menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa dengan mengurangkan risiko menjelang pengumuman data AS pada Selasa.

"Sekiranya data IHP AS gagal melepasi tahap yang dikehendaki, latar belakang makro yang bertambah baik boleh mengurangkan lagi dolar AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata memandangkan inflasi di AS masih agak tinggi, mesej daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS jelas iaitu bank pusat AS akan mengekalkan dasar monetari yang lebih ketat.

Di dalam negara, ringgit bagaimanapun diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura pada 3.2738/2777 daripada 3.2697/2739 pada penutupan dagangan Isnin dan lemah berbanding yen Jepun pada 3.2909/2946 daripada 3.2837/2877 sebelumnya.

Mata wang tempatan turut lemah berbanding euro kepada 4.6658/6707 daripada 4.6521/6574 semalam dan susut berbanding pound Britain kepada 5.2811/2865 daripada 5.2447/2507.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini