Ringgit terjejas risiko kenaikan kadar faedah di AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terjejas risiko kenaikan kadar faedah di AS


KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur berlegar sekitar paras 4.42 hingga 4.45 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini di tengah-tengah peningkatan risiko kitaran kadar faedah tinggi yang lebih lama selepas satu lagi laporan inflasi tinggi.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata minat pelabur dijangka tertumpu kepada mata wang selamat bagi melindungi nilai terhadap kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).

"Kekuatan berterusan data inflasi AS membayangkan langkah menaikkan kadar Fed masih belum berakhir," katanya.

"Ia ditambah lagi dengan idea kenaikan 50 mata asas oleh Fed pada Mac dan pasaran menerima dengan baik idea itu; data ekonomi AS dan respons Fed terhadap petanda inflasi tinggi perlu diperhatikan pada masa depan," katanya kepada Bernama.

Laporan terdahulu menunjukkan inflasi AS kekal tinggi yang menambahkan lagi tekanan untuk Fed menaikkan kadarnya.

Menurut Biro Perangkaan Buruh AS, keseluruhan indeks harga pengguna bulan ke bulan meningkat 0.5 peratus pada Januari yang seterusnya merangsangkan lagi permintaan terhadap dolar AS di pasaran global.

Semasa minggu yang baru berakhir ini, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding dolar AS.

Unit tempatan ditutup pada 4.4310/4345 minggu ini berbanding paras penutup 4.3320/3350 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Ringgit juga ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.2919/2961 daripada 5.2404/2440, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3062/3093 daripada 3.2635/2663 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7137/7174 daripada 4.6391/6424.

Bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2864/2892 daripada 3.3089/3114.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini