Ringgit terus merosot, satu dolar AS bernilai RM4.39 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot, satu dolar AS bernilai RM4.39


KUALA LUMPUR: Ringgit terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga hari ini, di tengah-tengah penurunan sentimen risiko tempatan ketika pelabur dalam proses menerima data inflasi AS bagi Januari yang membayangkan kemungkinan kenaikan kadar faedah bagi tempoh lebih lama.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.3900/3945 berbanding dolar AS daripada 4.3455/3495 pada akhir urus niaga semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran menjangkakan kenaikan 25 mata asas bagi kadar faedah Jun, sekali gus menggambarkan pendirian peniaga bahawa inflasi AS tidak akan jatuh secara ketara.

"Berikutan itu, hasil AS yang lebih tinggi serta sentimen tempatan yang tidak menentu terbukti menjejaskan ringgit pada hari ini.

"Keadaan itu ditambah lagi dengan ekonomi China yang masih belum menampakkan kesannya serta penilaian semula impak pembukaan semula dagangan China dari sudut tempatan yang menyebabkan pelabur tidak melihat sebarang lonjakan ketara bagi suku kedua seperti jangkaan ramai," katanya kepada Bernama.

Malah, Innes berkata peningkatan hasil AS juga menyebabkan aset tempatan yang disifatkan sebagai berisiko oleh pelabur asing, kelihatan kurang menarik pada hari ini.

"Oleh itu, permintaan antarabangsa untuk membeli aset tempatan ternyata berkurangan," katanya.

Menurutnya, pasaran turut memantau kekukuhan data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian AS yang akan diumumkan malam ini bagi mendapatkan lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju dasar monetari pihak Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Tindakan Fed menaikkan kadar faedah pada Jun telah meningkatkan peluang sifar peratus kepada kemungkinan itu dalam tempoh dua minggu lalu," katanya.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang antarabangsa lain kecuali yen.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2926/2962 daripada 3.2764/2799 pada akhir urus niaga semalam, turun berbanding berbanding pound Britain kepada 5.3093/3147 daripada 5.2963/3012 dan lemah berbanding euro kepada 4.7083/7131 daripada 4.6762/6805 sebelum ini.

Bagaimanapun ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.2909/2947 daripada 3.2918/2951 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini