Sentimen kekal lemah, kemerosotan ringgit berterusan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen kekal lemah, kemerosotan ringgit berterusan


KUALA LUMPUR: Ringgit terus mencatatkan aliran penurunan pada minggu ini untuk ditutup rendah hari ini berikutan sentimen pasaran yang kekal lemah susulan tiada petunjuk baharu.

Pada 6 petang, unit tempatan merosot kepada 4.4755/4805 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.4335/4370 pada Jumaat lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pelabur tempatan kekal tidak memasuki pasaran selepas dolar AS menyaksikan permintaan yang tinggi berikutan hasil bon AS yang kukuh.

Selain itu, katanya kenyataan terkini oleh peneraju Federal Reserve (Fed) Bank of Cleveland Loretta Mester mengenai keperluan untuk menaikkan kadar faedah berikutan data inflasi yang tinggi turut memberi tekanan kepada ringgit.

"Peneraju Fed Bank of Cleveland, Loretta Mester pada hujung minggu berkata Fed perlu menaikkan kadar lagi berikutan data inflasi yang tinggi.

"Baru-baru ini, data inflasi AS, termasuk Indeks Harga Pengguna, Indeks Harga Pengeluar dan Perbelanjaan Penggunaan Peribadi, meningkat melebihi jangkaan," katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya ketegangan AS-China muncul semula menyebabkan pelabur beralih daripada pelaburan Asia.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2816/2855 daripada 3.2804/2833 pada Jumaat lepas dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.3162/3204 daripada 3.2970/3001 sebelum ini.

Ia turut merosot berbanding euro kepada 4.7212/7265 daripada 4.6933/6970 pada minggu lepas dan susut berbanding pound kepada 5.3576/3636 daripada 5.3308/3350.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini