Harga emas meningkat lebih 13.86 peratus bulan ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas meningkat lebih 13.86 peratus bulan ini


KUALA LUMPUR: Ketidaktentuan pasaran modal global susulan kemelut beberapa bank Amerika Syarikat (AS) menyaksikan harga emas pukal meningkat 13.86 peratus kepada RM285.061 segram pada penutup Jumaat daripada RM263.401 segram, berasaskan ringgit dan gram.

Berasaskan dolar Amerika Syarikat (AS), harga emas setakat penutup Jumaat lalu adalah AS$1,976 (RM8,743.01) seauns atau RM281.09 segram meningkat 8.22 peratus daripada AS$1,828.38 (RM8,089.85) seauns atau RM260.09 segram yang dicatat pada awal bulan ini.

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI, Stephen Innes, berkata prospek emas sangat bergantung pada pergerakan dalam dolar AS, pada masa ini dilihat sebagai barometer keyakinan pasaran dalam sistem perbankan AS.

"Pada pendapat saya, mungkin terdapat lebih banyak masalah lembaran imbangan AS yang tidak diketahui. Oleh itu, sehingga pelabur yakin sepenuhnya terhadap sistem perbankan AS, emas boleh kekal menarik," katanya.

Beliau berkata, sekiranya krisis semakin teruk, emas boleh bergerak pada AS$2,000 setiap seauns tetapi jika krisis berkurangan, emas boleh bergerak di bawah AS$1,975 (RM8,738.58) seauns atau RM280.95 segram.

Sementara itu, Ketua Penganalisis Pasaran Kohle Capital Markets, Tim Waterer berkata, emas sekali lagi berada dalam julat memberangsangkan pada paras AS$2,000 seauns dengan logam berharga kekal memihak sebagai lindung nilai inflasi.

"Dengan peniaga tidak yakin bahawa Rizab Persekutuan (Fed) boleh meredakan inflasi yang melonjak sambil turut menyesuaikan keperluan untuk menangani kerapuhan sektor perbankan, pasti emas akan kekal sebagai aset pelindung nilai," katanya.

Penganalisis Pasaran Kewangan OctaFX, Kar Yong Ang berkata, peningkatan permintaan barang kemas di China dan Malaysia akan menyebabkan emas melonjak melebihi AS$2,000 seauns pada tahun ini.

Katanya, pada akhir 2022, permintaan untuk emas meningkat sebanyak 18 peratus kepada 4,741 tan dengan pemacu utama pertumbuhan itu adalah pembelian besar oleh bank pusat.

"Sebab peningkatan permintaan oleh pihak bank pusat adalah dalam geopolitik dan berkait rapat dengan peristiwa yang berlaku di Eropah Timur. Semasa konflik ini, maklumat tentang pembekuan Perbendaharaan AS yang dibeli oleh Russia muncul dalam medan maklumat.

"Fakta ini adalah duluan yang menunjukkan bahawa sistem tradisional rizab pertukaran asing tidak berfungsi. Oleh itu, agak logiklah yang bank pusat dunia telah menyemak semula risiko dengan mengurangkan ekuiti Perbendaharaan AS dan wang tunai dolar memihak kepada emas fizikal.

"Saya percaya bahawa disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang berterusan dan sistem rizab pertukaran asing yang hampir tidak beroperasi, pembelian bank pusat akan kekal tinggi sepanjang 2023 pada 1,000 hingga 1,200 tan," katanya.

Yong Ang berkata, harga emas mempunyai trend menaik disebabkan faktor kos peluang di tengah-tengah kelemahan berterusan dolar AS dan penurunan sederhana dalam hasil 10 tahun Perbendaharaan AS.

Katanya, sokongan yang sangat kukuh untuk sebut harga emas pada 2023 akan disebabkan oleh faktor risiko dan ketidakpastian, yang akan ketara dalam peningkatan permintaan untuk emas fizikal daripada bank pusat.

"Semua pemacu ini membenarkan ramalan harga emas melebihi AS$2,000 seauns menjelang akhir 2023, yang sepadan dengan potensi peningkatan sebanyak 8.3 peratus pada masa penulisan," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini