Pasaran tidak menentu, ringgit diniaga lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pasaran tidak menentu, ringgit diniaga lebih rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga pagi ini berikutan ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai menjadi 4.4270/4310 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Jumaat minggu lalu pada 4.4250/4305.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva membayangkan bahawa risiko ketidakstabilan kewangan telah meningkat.

Beliau menambah kenyataan seumpama itu muncul selepas lebih banyak bank terbabit dan paling terkini ialah Deutsche Bank.

"Justeru, ketidaktentuan pasaran telah menjadi kian ketara dan saya tidak terkejut sekiranya mod penghindaran risiko berlaku minggu ini," katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam mengunjurkan ringgit akan berlegar dalam julat yang sempit antara RM4.42 dan RM4.43 hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding euro kepada 4.7635/7678 daripada 4.7476/7535 pada penutup Jumaat lalu dan menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4142/4191 daripada 5.4034/4101 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.3848/3881 daripada 3.4099/4144 minggu lalu.

Pada masa yang sama, berbanding mata wang ASEAN ringgit diniagakan bercampur-campur.

Mata wang tempatan lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 292.1/292.5 daripada 291.90/292.50 Jumaat minggu lalu dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3218/3253 daripada 3.3178/3225 sebelumnya.

Namun begitu, mata wang tempatan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9252/9421 daripada 12.9610/9835 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.14/8.15 daripada 8.15/8.16 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini