Kejatuhan tiga hari berturut-turut ringgit berakhir - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kejatuhan tiga hari berturut-turut ringgit berakhir


KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula selepas tiga hari dagangan berturut-turut mencatatkan penurunan untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan data pembuatan China yang kukuh mendorong sentimen risiko.

Pada 6 petang, unit tempatan naik kepada 4.4710/4740 berbanding dolar AS daripada 4.4850/4895 pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata unit tempatan diniagakan tinggi selepas Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan China meningkat kepada 52.6 pada Februari 2023, paras tertinggi sejak April 2012, menunjukkan bahawa ekonomi kedua terbesar dunia itu pulih dengan baik.

"Hari ini adalah hari yang lebih baik berikutan data China yang kukuh dan ini akan menyokong ringgit melalui hubungan eksport Malaysia ke China," katanya kepada Bernama.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kenaikan ringgit sejajar dengan penurunan Indeks Dolar AS sebanyak 0.45 peratus kepada 104.397 mata.

"Paras semasa RM4.4710 agak hampir dengan paras sokongan pada RM4.4612," katanya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding euro kepada 4.7580/7612 daripada 4.7572/7620 semalam, berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2916/2941 daripada 3.2799/2835, bagaimanapun meningkat berbanding pound kepada 5.3956/3992 daripada 5.4152/4206 sebelum ini.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3333/3361 daripada 3.3247/3285 pada Selasa, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.8484/8637 daripada 12.6892/7073 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.13/8.14 daripada 8.10/8.12 sebelum ini.

Ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 293.40/293.80 daripada 293.80/294.30 semalam. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini