OPR kekal, ringgit tidak terjejas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

OPR kekal, ringgit tidak terjejas


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Pada 6 petang, unit tempatan naik kepada 4.5170/5200 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5230/5265 pada Rabu.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit terus kekal dalam julat sempit dengan sedikit peningkatan yang dilihat pada sepanjang hari.

"Ia jelas menunujukkan bahawa keputusan BNM untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus adalah menetapi jangkaan. Sehubungan itu, ia tidak menjejaskan ringgit kerana tiada unsur kejutan (kenaikan OPR)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kini pasaran akan tertumpu kepada data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS pada malam Jumaat dan data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS minggu depan sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berlangsung pada 21 hingga 22 Mac.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.3160/3184 daripada 3.2880/2908 ketika ditutup pada Rabu dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.3608/3643 daripada 5.3530/3571 sebelumnya dan merosot berbanding euro kepada 4.7690/7722 daripada 4.7650/7687.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.8814/8962 daripada 12.8912/9070 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 292.70/292.90 daripada 292.90/293.30.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini