Pelabur kurang minat, ringgit kekal RM4.47 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pelabur kurang minat, ringgit kekal RM4.47 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Tidak banyak perubahan yang dicatatkan semasa penutup ringgit berbanding dolar AS hari Khamis berikutan kekurangan minat dalam mata wang tempatan itu.

Pada 6 petang Khamis, ringgit berada pada 4.4730/4780 berbanding dolar AS daripada 4.4710/4740 yang disaksikan semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pemain pasaran sedang menyerap naratif bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan kadar faedah dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang menjelang 21 hingga 22 Mac depan.

"Presiden Fed Minneapolis, Neel Kashkari dilaporkan berkata bahawa beliau kini 'berfikiran terbuka' mengenai sama ada Fed perlu meningkatkan kadar faedah sebanyak 25 atau 50 mata asas dalam mesyuarat dasar akan datang.

"Jadi, pelabur mula berfikir bahawa Fed mungkin akan menambah kadar faedah sebanyak 50 mata asas," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.7539/7592 daripada 4.7580/7612 semalam, naik berbanding yen Jepun kepada 3.2772/2813 daripada 3.2916/2941 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3546/3606 daripada 5.3956/3992 sebelum ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding beberapa mata wang ASEAN.

Ia mencatatkan keuntungan berbanding dolar Singapura kepada 3.3210/3252 daripada 3.3333/3361, lebih mantap berbanding rupiah Indonesia pada 292.60/293.20 daripada 293.40/293.80.

Ringgit menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.8583/8789 daripada 12.8484/8637 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.13/8.14.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini