Pelabur terus memihak kepada ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Pelabur terus memihak kepada ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu kerana pelabur terus memihak kepada mata wang tempatan dengan menjangkakan kecenderungan menurunkan kadar faedah akan berlaku di Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4810/4870 berbanding dolar AS berbanding paras penutup 4.4820/4860 ketika ditutup semalam.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit terus menunjukkan prestasi yang membanggakan berbanding dolar AS pada Rabu.

Beliau berkata, kenaikan nilai ringgit itu memberi insentif untuk menarik pelabur terutamanya apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka akan menurunkan kadar faedah pada minggu depan.

"Pasaran menjangkakan Fed akan mengubah pendirian mereka semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan dan ia mungkin positif untuk ringgit dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan naik berbanding pound kepada 5.4292/4364 daripada 5.4474/4523 ketika ditutup pada Selasa, melonjak berbanding euro kepada 4.7853/7917 daripada 4.8007/8050 tetapi merosot berbanding yen kepada 3.3405/3453 daripada 3.3383/3415 semalam.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Ringgit melonjak berbanding baht kepada 12.9415/9675 daripada 12.9830/9999 semalam dan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 291.20/291.80 berbanding 291.20/291.70 sebelumnya.

Unit tempatan menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.3291/3341 daripada 3.3254/3286 pada Selasa dan turun berbanding peso kepada 8.15/8.17 daripada 8.13/8.14.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini