Ringgit lepasi paras sokongan RM4.40 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lepasi paras sokongan RM4.40


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas permintaan bagi dolar AS mula melemah, berikutan krisis perbankan negara itu.

Pada 6 petang, ringgit diniagakan pada 4.3990/4030 berbanding dolar AS daripada 4.4190/4240 yang direkodkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata memandangkan ringgit telah melangkaui paras sokongannya pada RM4.4099, paras sokongan seterusnya berada pada RM4.3297.

"Ini menunjukkan bahawa ringgit memerlukan pemangkin yang kukuh untuk naik, yang mana tidak lain adalah melalui kemungkinan pendirian tidak agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) semasa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan pada Mei depan.

"Sekiranya krisis perbankan di AS, yang dicetuskan oleh Silicon Valley Bank dan Signature Bank, dibendung, ringgit berpotensi menjadi lebih kukuh daripada paras semasa," katanya kepada Bernama.

Memandang ke hadapan, Afzanizam berkata pasaran juga menantikan pengeluaran data keyakinan pengguna AS yang dijangka lewat hari ini termasuk laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) esok, untuk sebarang petunjuk baharu.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.4046/4095 daripada 5.4159/4221 yang disaksikan pada penutupan Isnin, menokok berbanding yen Jepun kepada 3.3606/3642 daripada 3.3612/3653, namun susut sedikit berbanding euro kepada 4.7580/7623 daripada 4.7579/7633 sebelum ini.

Pada masa sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3100/3135 daripada 3.3151/3191 dan mantap berbanding peso Filipina kepada 8.07/8.09 daripada 8.14/8.15.

Ringgit berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.8288/8457 daripada 12.8236/8440 dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 291.60/291.90 daripada 291.30/291.90 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini