Ringgit mampu cecah RM4 sedolar AS akhir 2023 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mampu cecah RM4 sedolar AS akhir 2023


KUALA LUMPUR: Keputusan bank pusat Amerika Syarikat (AS) untuk memperlahankan kenaikan kadar faedah membuka ruang kepada mata wang lain termasuk ringgit terus mengukuh berbanding mata wang negara maju itu, demikian menurut penganalisis.

Langkah terkini Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 25 mata asas kepada 4.75 peratus hingga 5.00 peratus telah menyokong ringgit untuk mengukuh dengan diunjurkan paras sokongan sekitar RM4.40 dalam tempoh terdekat dan berupaya mencecah RM4.00 menjelang akhir 2023.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata jangkaan Fed akan menaikkan kadar faedah secara lebih perlahan bakal menurunkan nilai dolar AS.

Justeru, beliau berkata, keadaan itu menyokong ringgit meningkat ke paras RM4.4305.

"Paras sokongan buat masa berada pada tahap RM4.4076. Berkemungkinan ringgit bakal bergerak ke arah ini," katanya kepada BH.

Mengenai impak kepada hala tuju Kadar Dasar Semalaman (OPR), Mohd Afzanizam berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan menumpukan kepada menilai kedudukan ekonomi domestik sebelum membuat sebarang keputusan terhadap penanda aras pinjaman tempatan itu.

Beliau berkata, Fed hanyalah sebagai 'penetap trend' bagi kadar faedah di serata dunia, namun penilaian terhadap ekonomi domestik seperti penggunaan dan pelaburan adalah penting bagi memastikan momentum pertumbuhan kekal stabil.

Buat masa ini, katanya, kedudukan ekonomi domestik berada dalam keadaan yang baik, contohnya jualan kenderaan telah melonjak sebanyak 39 peratus pada Februari 2023 kepada 62,649 unit.

"Begitu juga dengan jualan sektor hartanah pada tahun 2022 yang mencecah RM179.1 bilion mewakili kenaikan sebanyak 23.6 peratus pada tahun lalu.

"Justeru, proses pembukaan ekonomi yang berterusan serta ditambah dasar monetari dan fiskal yang menyokong pertumbuhan, maka ekonomi Malaysia sudah pun kembali normal setelah terkesan selama tiga tahun akibat pandemik," katanya.

Sementara itu, MIDF Research dalam nota penyelidikan menjangkakan ringgit akan mencecah paras RM4.00 sedolar AS akhir 2023.

Ia berkata, memandangkan Fed memberi petanda bahawa kadar yang lebih perlahan bagi mengetatkan dasar monetari, nilai mata wang lain termasuk ringgit mencatatkan pengukuhan sejak awal November 2022.

Katanya, ringgit turut menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding mata wang utama lain pada 2022, apabila meningkat 12.5 peratus berbanding yen, 5.9 peratus berbanding euro, dua peratus berbanding dolar Australia dan lima peratus berbanding pound.

"Pada asasnya, ringgit adalah dalam kedudukan yang baik memandangkan ekonomi domestik kekal pada momentum yang kukuh dan sebagai pengeksport bersih petroleum mentah, gas asli cecair (LNG) dan minyak sawit, Malaysia akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi global.

"Melangkah ke hadapan, ringgit secara purata lebih tinggi pada RM4.20 sedolar dan akhir tahun 2023 pada paras RM4.00 sedolar," katanya.

AmInvest Research pula mengunjurkan paras sokongan ringgit berbanding dolar AS pada minggu ini sekitar RM4.410 dan RM4.420 sedolar AS.

Ia menjangkakan paras rintangan bagi ringgit berbanding dolar AS kepada sekitar RM4.480 dan RM4.490 sedolar AS.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini