Ringgit mengukuh walaupun masih diniagakan tanpa hala tuju jelas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mengukuh walaupun masih diniagakan tanpa hala tuju jelas

 

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan beberapa aktiviti membeli saham berharga rendah kemungkinan kerana mata wang tempatan telah berada dalam kedudukan terlebih jual, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.4710/4730 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4760/4800 pada Isnin.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, bagaimanapun berkata dalam tempoh dua hari akan datang tumpuan pasaran akan terarah kepada kenyataan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome dalam Laporan Monetari Separa Tahunan kepada Kongres.

"Kami menjangka beliau akan mengekalkan pendirian dasar yang ketat yang mana akan memberi prospek positif kepada dolar dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ringgit masih diniagakan dalam jajaran terhad dan tanpa hala tuju yang jelas.

"Kenyataan daripada Powell dan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis serta pengumuman data gaji bukan ladang AS pada Jumaat kelihatannya akan memberi sokongan positif kepada dolar AS," kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran pertukaran asing Asia, terutamanya, agak lengang menjelang kenyataan Powell itu.

"Memandangkan pengumuman data AS yang kukuh kebelakangan ini dan metrik inflasi yang tinggi, pelabur menunggu untuk mendengar sama ada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS akan meneruskan idea untuk menaikkan kadar pada 50 mata asas pada Mac.

"Jika ya, ringgit boleh berdepan dengan kemungkinan jualan," katanya.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali pound Britain.

Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2909/2926 daripada paras penutup 3.2895/2927 pada Isnin dan turun berbanding euro kepada 4.7647/7669 daripada 4.7575/7618 tetapi meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3715/3739 daripada 5.3842/3890 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3210/3229 daripada 3.3259/3294 sebelumnya, naik berbanding baht Thai kepada 12.9332/9453 daripada 12.9626/9810, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 290.90/291.1 daripada 292.50/293.0 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.12/8.13 daripada 8.16/8.17.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini