Sentimen pulih, ringgit naik kepada RM4.48 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Sentimen pulih, ringgit naik kepada RM4.48 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri penyusutan semalam apabila ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dipacu oleh pemulihan sentimen selepas kebimbangan berlakunya krisis perbankan global kian reda, kata penganalisis.

Pada 6 petang Jumaat, ringgit mengukuh kepada 4.4850/4880 berbanding dolar AS daripada 4.5005/5055 pada akhir urus niaga semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata unit tempatan itu terus positif seiring dengan mata wang lain Asia selepas ketidaktentuan pasaran berkaitan dengan krisis perbankan global tidak lagi ketara.

Namun, pada masa ini, pasaran menunggu keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai dasar monetarinya yang dijadualkan pada minggu depan bagi mendapatkan petunjuk lebih jelas.

"Walaupun kami menjangkakan Fed akan menaikkan kadar faedah, namun tidak pasti sama ada ini dalam lingkungan 25 mata asas atau 50 mata asas.

"Jika berdasarkan reaksi risiko pasaran terhadap kenaikan oleh Bank Pusat Eropah (ECB), saya tidak menganggap keadaan ini sebagai terlalu negatif bagi ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Unit tempatan itu susut berbanding yen Jepun kepada 3.3679/3704 daripada 3.3866/3909 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7743/7775 daripada 4.7777/7830.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4390/4426 daripada 5.4330/4390 sebelum ini.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain iaitu mengukuh berbanding rupiah Indonesia pada 292.20/292.60 daripada 292.30/292.90, semalam.

Ringgit juga naik berbanding dolar Singapura pada 3.3393/3418 daripada 3.3399/3438 dan meningkat berbanding peso Filipina pada 8.19/8.20 daripada 8.20/8.21 sebelum ini, namun susut berbanding baht Thailand kepada 13.0987/1151 daripada 13.0737/0947, semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini