Harga minyak mentah Brent berpotensi cecah AS$100 - Penganalisis - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak mentah Brent berpotensi cecah AS$100 - Penganalisis


KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah Brent dijangka berpotensi mencecah AS$100 setong tahun ini dengan kecenderungan untuk terus melonjak.

Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd, Liaw Thong Jung, berkata harga minyak turut berpotensi melebihi AS$100 sekiranya pakatan OPEC+ mengambil pendirian untuk melihat dasar harga minyak yang dinaikkan berbanding pengeluaran yang lebih tinggi.

"Ini akan mengetatkan lagi pasaran bekalan global, yang sudah pun terjejas oleh struktur tidak menguntungkan berpanjangan.

"Selain itu prospek permintaan yang meningkat seperti pembukaan semula China serta sektor penerbangan turut memberi kesan kepada bekalan global," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, yang dikenali secara kolektif sebagai OPEC+, pada Ahad secara tidak dijangka mengumumkan pemotongan pengeluaran minyak mentah lebih daripada 1 juta tong sehari (bpd) dari Mei hingga akhir 2023.

Arab Saudi akan mendahului pemotongan sukarela sebanyak 500,000 bpd, manakala Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Algeria, Oman, Kazakhstan dan Gabon juga akan mengambil bahagian dalam pemotongan itu.

Sementara itu, Rusia berkata, ia akan melanjutkan pemotongan sukarela sebanyak 500,000 bpd sehingga akhir tahun ini.

Sehubungan itu, ini akan menjadikan jumlah pelarasan pengeluaran sukarela tambahan oleh negara-negara yang disebutkan di atas kepada 1.66 juta tong sehari.

Langkah itu merupakan langkah berjaga-jaga yang bertujuan menyokong kestabilan pasaran minyak.

Pengurangan itu adalah tambahan kepada pemotongan 2 juta tong pengeluaran yang diumumkan oleh OPEC+ pada Oktober lalu.

Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd, Eugene Hoo Yee Hui pula berkata, pemotongan pengeluaran minyak mentah sebanyak 1.66 juta tong itu adalah sekitar dua peratus daripada

bekalan pasaran dunia.

Beliau berkata, pemotongan pengeluaran yang dirancang sudah pasti akan mengetatkan imbangan bekalan-permintaan global, menghapuskan bekalan jangka pendek tidak terjual dan menaikkan harga dasar harga minyak kepada AS$80.

Langkah ini katanya mengulangi pandangan Maybank Investment bahawa pakatan OPEC+ kekal sebagai pengeluar minyak yang relevan dan masih berdisiplin serta kukuh sebagai sebuah kuasa kolektif dalam membentuk hala tuju pasaran minyak (pengeluaran dan harga minyak).

"Malah secara beransur-ansur beralih daripada pengaruh dan telunjuk AS. Pemotongan ini juga masuk akal kerana sektor ini menghadapi cabaran meningkatkan pengeluaran berikutan tahun dibawah pelaburan sejak 2014," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini