Lonjakan harga minyak dunia dorong inflasi berterusan - Penganalisis - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Lonjakan harga minyak dunia dorong inflasi berterusan - Penganalisis


KUALA LUMPUR: Kenaikan ketara harga minyak mentah dunia yang berlaku ketika ini boleh mendorong inflasi lebih tinggi, kata Ketua Ekonomi ACY Securities, Clifford Bennett.

Bennett berkata, harga minyak yang lebih tinggi secara berterusan memberi tekanan kepada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan kadar faedah.

Beliau berkata, lebih merumitkan landskap inflasi yang sebelum ini semakin berkurangan walaupun masih tinggi ketika ini.

"Ini bukan sahaja mengenai langkah yang dilihat semalam yang mana Arab Saudi telah menyatakan dengan jelas bahawa ia akan terus mengekalkan harga (minyak mentah) yang tinggi.

"Malah lawatan Presiden AS ke Arab Saudi juga nampaknya hanya mencapai sedikit kejayaan. Ini bermakna harga minyak mentah dunia adalah di luar kawalan pentadbiran AS," katanya.

Bennett berkata, ketika ini masih tiada kawalan atau had hala tuju harga minyak walaupun hubungan diplomatik dikatakan sangat akrab sebelum ini.

Beliau berkata, ini adalah senario yang sangat berbeza dengan apa yang diharapkan oleh pentadbiran Biden.

Ekonomi katanya terus bermasalah dan tidak menentu serta pasaran mengambil ia sebagai beberapa tanda harapan ekonomi yang semakin lemah sekali gus memperlahankan tindakan FED.

"Ini adalah senario yang diharapkan. Senario yang lebih berkemungkinan ialah harga minyak kini akan kekal kukuh malah semakin kukuh.

"Ia akan kekal di hadapan dan tengah dalam pengiraan FED. Rizab persekutuan percaya ia boleh dan mungkin memenangi perjuangan menentang inflasi," katanya.

Bennett berkata, pada masa sama, FED juga mengetahui bahawa harga minyak yang lebih tinggi akan berterusan, walaupun tidak hampir sama dengan paras krisis.

Namun katanya ia akan memberi kesan segera dan mendalam ke atas harga merentas kebanyakan sektor perkhidmatan, pembuatan dan runcit.

Kelmarin harga minyak melonjak hampir enam peratus dalam dagangan Asia semalam selepas pengeluar utama yang diketuai Arab Saudi mengumumkan pemotongan mengejut lebih sejuta tong sehari.

Kontrak West Texas Intermediate melonjak 5.74 peratus kepada AS$80.01 satu tong, manakala Brent melonjak 5.67 peratus kepada AS$84.42.

Tindakan Arab Saudi, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Algeria serta Oman itu akan berkuat kuasa bermula bulan depan hingga akhir tahun.

Ia menandakan pengurangan terbesar dalam pengeluaran sejak kartel OPEC+ mengurangkan dua juta tong sehari pada Oktober.

Pengurangan itu berlaku berikutan keputusan Russia untuk melanjutkan pemotongan 500,000 tong sehari, meskipun AS menggesa untuk meningkatkan pengeluaran.

Pengumuman itu akan menimbulkan kebimbangan baharu mengenai inflasi dan memberi lebih banyak tekanan kepada bank pusat untuk menaikkan lagi kadar faedah.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini