Malaysia sukar elak kebergantungan kepada dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Malaysia sukar elak kebergantungan kepada dolar AS


KUALA LUMPUR: Malaysia sukar untuk mengelak daripada bergantung kepada dolar Amerika Syarikat (AS) dalam masa terdekat kerana statusnya sebagai mata wang global yang sudah kukuh sejak berdekad lamanya, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata adalah masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai proses untuk menggantikan dolar AS sebagai mata wang perdagangan komoditi atau penyahdolarisasi (dedollarisation), memandangkan statusnya sebagai mata wang utama global tidak boleh dihapuskan dengan mudah.

"Legasi yang dibina selama beberapa dekad dan sudah memberikan keyakinan kepada peniaga dan pelabur. Untuk mata wang global alternatif mengambil alih, ekonomi yang kukuh, pasaran kewangan yang cair dan terbuka serta peraturan yang boleh dipercayai diperlukan.

"Ini juga berlaku untuk fungsi utama wang yang lain sebagai instrumen rizab mata wang asing dengan bank pusat, iaitu kira-kira 60 peratus daripada rizab pertukaran asing dunia, yang berjumlah kira-kira AS$11 trilion, masih dalam denominasi mata wang dolar AS.

"Penyahdolarisasi pasti akan berlaku satu hari nanti, tetapi tidak akan berlaku dalam masa terdekat," katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi menjelaskan, proses penyahdolarisasi pada masa adalah hasil reaksi majoriti negara di dunia yang mengurangkan penggunaan dolar AS sebagai mata wang global dalam perdagangan antarabangsa seterusnya membentuk landskap baharu ekonomi global.

Sebagai contoh, beliau berkata, bahawa Russia di sebalik sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Blok Barat sudah mengambil inisiatif untuk berdagang dengan China menggunakan mata wang yuan.

"Keadaan ini meningkat apabila negara-negara yang dikenali sebagai BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) berdagang sesama mereka dalam mata wang mereka sendiri.

"Kemudian, Arab Saudi mula menerima bayaran untuk produk petroleum dalam yuan dari China serta rupee dari India. Argentina dan Brazil, dua ekonomi terbesar di Amerika Selatan juga bergerak untuk berdagang menggunakan mata wang mereka sendiri dan bukannya dolar AS.

"Tindakan itu menunjukkan hasrat pelbagai negara untuk mengurangkan pergantungan kepada dolar AS dan menjalin hubungan ekonomi dan politik yang lebih erat sesama mereka," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, tidak ada sebab bagi negara seperti Malaysia untuk terus bergantung kepada dolar AS dalam menarik pelaburan ke dalam negara.

Beliau berkata, rundingan pelaburan antara Malaysia dengan negara lain sepatutnya menggunakan mata wang negara ini dan mata wang negara yang terbabit.

Sementara itu, Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penyahdolarisasi akan mengambil sedikit masa kerana pertama, negara yang terbabit perlu bersetuju dengan mata wang mana yang akan menjadi pilihan dan sama ada ketersediaan mata wang terbabit sudah mencapai skala yang betul.

"Sebagai contoh, akaun modal China masih ditutup. Ini akan menjadikan ketersediaan yuan boleh menjadi agak terhad. Dalam erti kata lain, terdapat isu operasi yang perlu ditangani sebelum kita boleh menubuhkan mata wang utama yang lain.

"Oleh itu, penyahdolarisasi adalah satu perkara yang berterusan dan ia akan mengubah landskap pasaran mata wang," katanya.

Dolar AS jatuh ke paras terendah dalam setahun berbanding sekumpulan mata wang pada Jumaat lalu, manakala euro mencecah paras tertinggi satu tahun, apabila pedagang meningkatkan jangkaan penamatan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) tidak lama lagi, petunjuk terhadap inflasi yang menyederhana.

Data daripada Jabatan Buruh AS pada Khamis menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) jatuh paling banyak dalam hampir tiga tahun bulan lalu, datang sehari selepas data inflasi menunjukkan penyederhanaan harga pengguna.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini