Melihat pasaran saham merudum sentiasa membuatkan kita berasa tawar hati. Apabila harga saham jatuh, pelabur mula hilang keyakinan dan menjual saham mereka walaupun ia merugikan. Ini boleh memberi kesan yang negatif kepada pasaran saham secara keseluruhan, membawa kepada peningkatan inflasi dan malah merintis permulaan kemelesetan ekonomi baharu.
Dalam artikel ini, kita akan pelajari tentang situasi semasa pasaran saham, apa yang menyebabkan kejatuhan pasaran saham baru-baru ini, akibat yang mungkin menimpa lantaran kemeruduman pasaran saham dan bila ia dijangkakan akan berakhir.
Poin-poin utama
1. Kejatuhan pasaran saham ialah penurunan harga saham yang sangat cepat dan tidak dijangka, yang biasanya berlaku dalam masa satu hari.
2. Kejatuhan pasaran saham boleh didahului oleh pasaran bearish yang berpanjangan dan disusuli dengan kemelesetan ekonomi yang besar.
3. Kejatuhan pasaran saham boleh disebabkan oleh inflasi, masalah ekonomi atau politik global, dan juga keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
4. Laporan atau pengumuman rasmi boleh membantu pelabur meramalkan kalau-kalau pasaran akan merudum dalam masa terdekat.
Apakah yang sedang berlaku di pasaran saham ketika ini?
Pasaran saham sedang melalui satu masa yang sukar. Tahun sebelumnya sukar bagi ekonomi dunia secara amnya, yang seterusnya mempengaruhi situasi semasa merentasi semua pasaran kewangan. Indeks S&P 500 jatuh sekali lagi walaupun ia kemudian mendaki perlahan-lahan setelah merudum pada bulan Disember, dan keruntuhan Silicon Valley Bank baru-baru ini benar-benar mengecohkan industri, yang bermaksud bahawa pasaran yang berish ketika ini tidak akan menyongsang naik dalam masa terdekat.
Pada masa ini, pasaran saham mengalami tempoh penurunan bila mana pelabur mula menjual saham mereka, bimbang harga tidak akan meningkat dalam masa terdekat dan mereka mungkin kehilangan peluang untuk mendapatkan semula dana mereka.
Mengapa pasaran saham merosot?
Beberapa tahun kebelakangan ini ekonomi telah memperlahan. Syarikat tidak lagi membuat wang sebanyak dahulu, yang meningkatkan ketidakpastian di kalangan pelabur. Mereka tidak lagi pasti sama ada pasaran akan pulih daripada kemelesetan, jadi mereka mula menjual saham bukannya memperoleh pegangan baharu, yang mendorong harga lebih rendah dan menakutkan para pembeli.
Terdapat pelbagai sebab yang menyebabkan saham merosot, dan kami akan cuba mengupas sebab-sebab yang paling menonjol.
Inflasi dan kenaikan kadar faedah
Sejurus sebelum permulaan tahun baharu, pasaran saham menjunam apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan kenaikan kadar faedah yang dibayar bagi baki rizab kepada 4.4% dalam usaha untuk memerangi inflasi yang berleluasa. Ini amalan lazim yang bertujuan untuk mengurangkan jumlah wang dalam edaran dan menurunkan aktiviti ekonomi penduduk, yang seterusnya akan meredakan kadar inflasi.
Walau bagaimanapun, kadar faedah yang tinggi biasanya berita yang buruk untuk pasaran saham. Apabila kadar faedah meningkat, kos untuk membuat pinjaman dan menjalankan perniagaan menjadi lebih mahal bagi syarikat. Lebih sedikit aktiviti perniagaan bermakna hasil dan pendapatan yang lebih rendah, yang menghalang pertumbuhan syarikat. Ia tidak lagi tampak menarik di mata para pelabur, jadi mereka biasanya cuba menyingkirkan saham yang mereka miliki dan memindahkan modal mereka ke dalam pelaburan yang lebih stabil. Akibatnya, pasaran saham terus merosot tanpa input monetari baharu daripada para pedagang.
Kesenjangan antara bekalan dan permintaan
Faktor ini sebahagiannya berkaitan dengan peningkatan kadar inflasi. Seperti yang kita tahu, bekalan dan permintaan berkait rapat antara satu sama lain. Permintaan yang tinggi untuk barangan menggalakkan penawaran yang lebih tinggi dan menaikkan harga barangan ini. Jadi bila pelabur menjual saham mereka, bekalan saham mula meningkat Bagaimanapun, kesusahan kewangan semasa menyebabkan para pembeli berfikir banyak kali untuk membeli saham tersebut. Ini bermakna walaupun bekalan tinggi, permintaan untuk saham agak rendah. Perbezaan ini menyebabkan harga saham merosot. Tetapi memandangkan situasi sekarang mempengaruhi majoriti syarikat di pasaran, kesenjangan antara bekalan dan permintaan ini telah merebak ke seluruh pasaran saham.
Pengaruh pasaran global
Pandemik baru-baru ini menunjukkan bagaimana globalisasi telah menghubungkan ekonomi semua negara. COVID-19 dan langkah-langkah yang diambil untuk mencegah penularannya memutuskan banyak rantaian bekalan di seluruh dunia. Malah sekarang, apabila kebanyakan negara sudah hampir pulih daripada wabak itu, kita dapat melihat bagaimana langkah kuarantin yang ketat di China mampu menyebabkan kekurangan sumber yang diperlukan untuk menghasilkan barangan baharu, menjejaskan produktiviti dan keuntungan banyak sekali syarikat di seluruh dunia. Ini menggambarkan bagaimana trend dan isu yang berlaku dalam satu pasaran global cenderung mempengaruhi keadaan semua pasaran global lain di seluruh dunia, merebak seperti satu tindak balas berantai.
Peristiwa geopolitik
Kestabilan pasaran saham boleh terjejas waima akibat dari peristiwa yang tidak berkaitan secara langsung dengan kewangan. Konflik antarabangsa dan dalaman, bencana alam, perubahan kerajaan secara radikal dan kejadian luar jangka lain boleh mempengaruhi keupayaan syarikat untuk menyediakan barangan atau perkhidmatan, yang boleh menjejaskan pendapatan dan kedudukannya di pasaran saham. Oleh itu, apabila peristiwa ini melanda beberapa negara pada satu masa yang sama, akibat yang buruk akan menimpa pasaran saham global.
Keruntuhan institusi kewangan yang penting
Kemelut Silicon Valley Bank baru-baru ini menyebabkan gelombang panik yang besar melanda pelbagai pasaran. SVB ialah bank yang kedua terbesar di California dengan modal $200 bilion, jadi keruntuhannya menjadi kegagalan bank yang kedua terbesar dalam sejarah AS. Penglibatannya dalam sektor modal teroka dan syarikat start-up sebelum ini bermakna akan ada banyak syarikat start-up yang akan terpukul teruk akibat keruntuhan bank, dengan beberapa syarikat terpaksa ditutup dalam masa terdekat. Apatah lagi, S&P 500 menunjukkan penurunan mingguan terbesar sejak awal tahun 2023. Ini contoh yang bagus betapa bank dan institusi kewangan lain boleh mempengaruhi kestabilan pasaran saham.
Bahaya kejatuhan pasaran saham
Apabila pasaran saham mengalami penurunan harga yang tidak dijangka, ia boleh menakutkan pelabur daripada membeli saham baharu. Mereka cuba menyingkirkan apa yang mereka anggap sebagai pelaburan yang tidak andal. Tetapi saham adalah sumber sokongan kewangan yang sangat penting untuk syarikat, dan tanpa pelabur yang mencukupi perniagaan mereka boleh memperlahan. Syarikat mungkin perlu memotong banyak perbelanjaan dan memberhentikan beberapa pekerja, yang seterusnya meningkatkan kadar pengangguran keseluruhan. Orang yang tidak mempunyai pekerjaan cenderung untuk membelanjakan lebih sedikit wang, dan ini menyebabkan pendapatan syarikat semakin merosot. Kitaran yang tidak berkesudahan ini akhirnya boleh membawa kepada kemerosotan dalam ekonomi dan juga menyebabkan kemelesetan ekonomi baru, yang sudah pernah berlaku pada masa lalu. Inilah sebabnya mengapa kejatuhan pasaran saham sering menyebabkan panik dalam kalangan orang awam.
Adakah kejatuhan pasaran saham akan berakhir?
Apabila pasaran merudum, anda mungkin berasa kemelesetan ini tidak akan pernah berakhir. Bagaimanapun, ini bukan kali pertama pasaran saham global mengalami kejatuhan yang begitu dramatik. Ramai pedagang lupa pasaran saham sentiasa bergerak dalam kitaran. Pasaran yang bearish, dengan harga yang merosot dan sentimen pelabur yang negatif, sentiasa disusuli oleh pasaran yang bullish, yang seringkali berlanjutan lebih lama.
Harga mungkin memerlukan sedikit masa sebelum ia naik semula, tetapi ia akan berlaku akhirnya. Cara yang terbaik untuk mengetahui bila ia mungkin berlaku adalah dengan mengikuti laporan rasmi, keputusan dasar monetari yang dibuat oleh bank pusat dan pengumuman data ekonomi.
Sebagai contoh, laporan Daftar Gaji Bukan Perladangan (Nonfarm Payrolls, NFP) menyediakan maklumat tentang situasi semasa pasaran buruh di AS. Pelabur memberi perhatian yang teliti pada laporan ini kerana ia boleh menunjukkan sama ada harga saham berkemungkinan naik atau turun. Jika laporan NFP menunjukkan pertumbuhan pekerjaan yang kukuh, ini adalah petanda ekonomi yang kukuh, manakala pertumbuhan pekerjaan yang lemah atau pengangguran yang tinggi boleh menunjukkan bahawa ekonomi sedang bergelut dan mungkin akan timbul masalah di pasaran saham tidak lama lagi.
Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index, CPI) satu lagi indikator yang terbukti boleh membantu pelabur. Ia digunakan untuk mengukur kadar inflasi. Jika CPI menunjukkan bahawa inflasi semakin tinggi menghampiri paras berbahaya, kerajaan mungkin akan menaikkan kadar faedah, yang boleh menyebabkan penurunan harga saham, seperti yang kita lihat berlaku di AS baru-baru ini.
Terdapat banyak laporan dan pengumuman lain yang boleh memberikan gambaran yang lebih besar kepada anda. Ikuti berita ekonomi dan dahului pasaran dengan kalendar ekonomi FBS. Ia membolehkan anda melihat sama ada terdapat kemungkinan pasaran saham akan jatuh atau naik semula, dan membuat persediaan yang sewajarnya.
Berdasarkan data yang dinyatakan di atas, Rizab Persekutuan (bank pusat AS) dan pengawal selia lain membuat keputusan untuk mengubah kadar faedah. Jika inflasi memuncak dan pegawai pasti ia akan turun tidak lama lagi, Fed mengurangkan kadar faedah, melemahkan dolar AS dan mendorong saham naik.
Kesimpulan
Dekad ini bermula agak sukar, bila mana kejatuhan pasaran saham disusuli dengan satu lagi kejatuhan lain dalam tempoh yang agak singkat. Agak sukar untuk mengatakan berapa lama lagi trend bearish di pasaran saham akan digantikan dengan pergerakan harga menaik. Satu-satunya perkara yang pelabur dan pedagang boleh lakukan pada masa ini ialah menunggu lebih banyak pengumuman rasmi dan mengelak dari membuat keputusan yang terburu-buru kerana berasa takut.
SOALAN LAZIM
Mengapa saham naik?
Harga saham meningkat naik apabila terdapat sebilangan besar pedagang mahu membelinya. Semakin tinggi permintaan untuk sesuatu saham, semakin rendah bekalan yang diperoleh, yang bermaksud saham yang selebihnya menjadi lebih mahal untuk dibeli oleh para pembeli.
Apa yang sedang terjadi di pasaran saham?
Pada masa ini, pasaran saham sedang bergerak ke bawah. Ini berlaku kerana inflasi yang tinggi, peristiwa geopolitik, dan kenaikan kadar faedah baru-baru ini yang menjadikan pinjaman lebih mahal.
Mengapa pasaran merosot?
Pasaran merosot apabila permintaan untuk sekuriti berkurangan. Pasaran bearish yang berpanjangan berlaku apabila ekonomi mengalami kesukaran, menyebabkan pelabur hilang keyakinan dan menjual saham yang mereka miliki.