Perjanjian dua hala usaha beralih daripada dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Perjanjian dua hala usaha beralih daripada dolar AS


KUALA LUMPUR: Perjanjian dua hala dan serantau dilihat sebagai titik permulaan terbaik untuk Malaysia serta negara sedang membangun meneruskan usaha beralih daripada dolar Amerika Syarikat (AS) dengan berurusan atau melakukan transaksi dalam denominasi bukan dolar, kata ahli ekonomi.

Mereka turut menyifatkan tindakan sedemikian akan membolehkan kalangan ekonomi atau negara sedang membangun untuk berganjak daripada risiko berkaitan kebergantungan terhadap dolar AS.

Malah, tarikan untuk dedolarisasi atau beralih daripada dolar AS juga semakin mendapat momentum ketika mata wang negara maju itu terus melonjak ketara berbanding mata wang serantau dalam tempoh singkat yang mencetuskan implikasi makroekonomi hampir ke semua negara.

Bersandarkan jangkaan itu serta polemik yang makin meningkat mengenai usaha peralihan daripada dolar, Pakar Ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi memberitahu Bernama bahawa langkah berkenaan boleh dilaksanakan melalui perjanjian dua hala serta serantau.

Sebagai contoh, jika pengeluar minyak mengeksport ke negara pengguna yang seterusnya mengeksport produk berkaitan, mungkin wujud peluang bagi peralihan daripada dolar AS menerusi mekanisme yang telah dipersetujui bersama, kata beliau.

Ringkasnya, mereka boleh menjalankan perdagangan di negara masing-masing atau menggunakan mata wang dipersetujui bersama.

"Oleh itu, perjanjian dua hala ini adalah titik permulaan ke arah itu," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat juga kemungkinan bagi negara tertentu untuk sukar melakukan peralihan itu berikutan ciri dolar AS sebagai dominasi dan kedudukan AS sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia yang menjadikan mata wang berkenaan dianggap sebagai selamat.

Berkongsi pandangan sama, Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Geoffrey Williams, berkata usaha pengurangan kebergantungan ke atas dolar AS bukanlah baharu kerana pernah dibangkitkan sebelum ini.

"Namun, usaha ke arah itu semakin serius dengan semakin banyak pemimpin antarabangsa mempertikaikan peranan sebenar dolar AS dan sistem AS dan Kesatuan Eropah (EU) serta realiti perubahan yang sedang berlaku berikutan perubahan nada serta kemungkinan tindakan ke arahnya," katanya.

Selain itu, dalam senario polemik berkaitan usaha peralihan daripada dolar AS, Nungsari mengingatkan bahawa negara-negara dagangan kecil seperti Malaysia perlu kekal berkecuali selain bertindak secara bijak untuk melindungi kepentingan masing-masing.

Menyentuh aspek mempelbagaikan mata wang dan mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS, belaiau berkata tindakan itu juga boleh menjurus kepada hubungan dua hala yang lebih kukuh.

Sebagai contoh, sejajar dengan peningkatan transaksi bukan dolar AS yang kian ketara di peringkat global, pihak Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia pada awal bulan ini telah memaklumkan bahawa perdagangan antara India dan Malaysia kini boleh dilaksanakan dalam rupee.

Ini tambahan kepada kaedah penyelesaian dalam mata wang lain susulan keputusan Bank Rizab India yang juga bank pusat negara itu pada Julai 2022 yang membenarkan penyelesaian dagangan antarabangsa menggunakan rupee.

Usaha itu bertujuan mempermudah pertumbuhan perdagangan antarabangsa selain menyokong minat komuniti dagangan global terhadap INR.

Jika diamati, perdagangan dalam mata wang asing juga adalah seiring dengan dasar pertukaran asing Malaysia (FEP).

Bank-bank Malaysia misalnya dibenarkan untuk melaksanakan penyelesaian perdagangan antarabangsa barangan atau perkhidmatan dalam mana-mana mata wang asing yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang Bank Negara Malaysia (BNM).

Walaupun polemik berkaitan dengan peralihan daripada dolar AS terutamanya disebabkan oleh dominasinya dalam perdagangan dan kewangan antarabangsa terus ketara, Nungsari menekankan bahawa transaksi bukan dalam dolar AS dalam kalangan negara-negara meliputi perkumpulan lebih besar juga berkemungkinan agar mencabar, terutamanya jika ada kalangan anggotanya masih setia atau berpegang kuat kepada dolar AS.

Berlatarbelakang keadaan yang mana dolar masih menjadi mata wang pilihan bagi perdagangan antarabangsa, negara-negara sedang membangun seperti Malaysia sebaliknya sedang bergelut untuk mengurangkan kesan inflasi import akibat peningkatan ketara dolar AS.

Keadaan itu telah memburukkan lagi kemampuan negara-negara untuk kembali bangkit selepas pandemik COVID-19 apabila mata wang masing-masing terus susut berbanding dolar AS.

Ringgit telah susut nilai sebanyak 8.43 peratus dalam tempoh lebih tiga tahun berbanding dolar AS daripada 4.0580 pada 25 Januari 2020 berbanding 4.4000 pada 21 April 2023.

Keadaan itu lebih ketara dalam kalangan ekonomi negara-negara sedang pesat membangun, sekali gus memaparkan kebergantungan import lebih tinggi serta bahagian lebih besar dari segi invois import dalam dolar AS.

Secara asasnya, import menjadi lebih mahal berikutan kadar pertukaran lebih tinggi berbanding dolar AS.

Menurut data Census and Economic Information Center (CEIC), import Malaysia berjumlah AS$21.8 bilion pada Januari 2023 dan mencecah AS$23.2 bilion pada Disember 2022.

Berikutan itu, sebarang kenaikan dolar boleh memberi kesan ketara terhadap jumlah bayaran Malaysia bagi importnya.

Tindakan gagasan ekonomi lima negara iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang berhasrat mewujudkan mata wang rizab baharu untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada kepentingan ekonomi masing-masing, hanya menghangatkan lagi idea untuk beralih daripada penggunaan dolar AS.

Sebahagian besar pemindahan wang dan keselamatan antarabangsa adalah dijana oleh sistem Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunications (SWIFT) yang mengenal pasti bank-bank tertentu mengikut kod masing-masing di seluruh dunia bagi tujuan pemindahan wang ke peringkat antarabangsa.

Mengulas kaitan peralihan daripada dolar AS serta SWIFT, Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata konsep peralihan itu perlu disertakan dengan mengurangkan pergantungan kepada kod SWIFT bagi pemindahan wang.

"Langkah ini satu strategi tepat bagi negara agar tidak terlalu bergantung kepada dolar sebagai perantara pertukaran untuk perdagangan global serta pergantungan kepada kod SWIFT bagi tujuan pemindahan wang.

"Ini disebabkan hanya ada satu negara yang mengawal kedua-dua mekanisme pada masa ini. Seperti yang kita semua maklum dari segi geopolitik, AS berkonflik dengan Russia dan China yang menjadi sebahagian daripada blok ekonomi BRICS yang berpengaruh," katanya.

Williams pula berkata, sebarang perjanjian baharu seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang kini disertai oleh United Kingdom, menunjukkan terdapat perubahan dalam pengaturan ekonomi global yang tidak semestinya bergantung kepada AS atau negara-negara maju lain seperti EU.

Selain itu, Nungsari dan Williams juga sependapat mengenai cabaran dalam usaha peralihan daripada dolar AS, termasuk realiti ekonomi AS yang masih menjadi ekonomi besar.

Walaupun China berkemungkinan mengatasi AS dalam aspek pariti kuasa beli, namun dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar, AS terus menjadi ekonomi utama di peringkat global.

"Malah, lebih daripada itu serta (kedudukan) yuan yang bukan mata wang terapung sepenuhnya dan keadaan pasaran modal China yang masih dikawal, dolar AS setakat ini terus menjadi mata wang rizab pilihan dan dipegang oleh banyak negara.

"Dolar AS ibarat emas bagi pertukaran asing dan boleh dijadikan alternatif kepada emas," kata Nungsari.

Williams pula berkata, sebarang peralihan kepada mata wang dua hala bagi tujuan perdagangan dan pelaburan boleh dilaksanakan, namun lebih berisiko kepada aspek turun naik kadar tukaran dan isu mudah tunai.

"Oleh itu, ini harus menjadi langkah kepada pilihan pelbagai pilihan mata wang (dan) bukan hanya kepada satu mata wang (tunggal) sahaja," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini