Faktor luar punca ringgit lemah ketika ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Faktor luar punca ringgit lemah ketika ini


KUALA LUMPUR: Faktor luaran dijangka terus mempengaruhi pergerakan ringgit buat masa ini dengan mata wang tempatan itu dijangka berada dalam lingkungan RM4.42 hingga RM4.47 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pergerakan ringgit sememangnya banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran terutamanya suasana kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) serta di Eropah.

Beliau berkata, dasar fiskal luar negara seperti di AS juga mampu memberi impak yang besar kepada pasaran mata wang, contohnya, siling hutang kerajaan AS perlu dinaikkan pada bulan Jun nanti bagi membolehkan kerajaan AS untuk terus berbelanja.

Katanya, sekiranya siling hutang itu gagal dinaikkan dalam tempoh berkenaan, dibimbangi risiko mungkir oleh kerajaan AS boleh berlaku.

Jelasnya, proses untuk menaikkan siling hutang memerlukan persetujuan parti politik di Kongres AS, yang mana parti Republikan mahukan pengurangan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan sebelum mereka memberikan sokongan terhadap usul bagi menaikkan siling hutang.

"Walau bagaimanapun, Parti Demokrat berfikiran sebaliknya. Justeru, kebimbangan terhadap kelewatan menaikkan siling hutang memberi gambaran risiko mungkir boleh berlaku berikutan landskap politik di AS yang tidak stabil," katanya kepada BH.

Mohd Afzanizam berkata, kejatuhan harga saham First Republic Bank (FRB) juga memberi gambaran bahawa kenaikan kadar faedah yang drastik di AS membayangkan ekonomi AS bakal mencatatkan momentum pertumbuhan yang perlahan serta terdapat juga risiko kemelesetan ekonomi boleh berlaku.

Beliau berkata, harga minyak mentah dunia Brent juga merosot ke paras AS$78 setong setelah mencatatkan peningkatan sehingga ke paras AS$87 setong pada awal April lalu.

"Perkara ini juga memberi kesan negatif kepada ringgit kerana harga minyak yang rendah mempunyai kaitan langsung dengan sektor minyak dan gas serta pendapatan kerajaan.

"Oleh itu, nilai ringgit dijangka lemah buat masa ini kerana petunjuk ekonomi global yang dijangka kurang memberangsangkan serta ketidakpastian terhadap hala tuju kadar faedah di AS," katanya.

Sementara itu, Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, ringgit terus lemah di atas paras RM4.44 sedolar berikutan jangkaan kenaikan kadar 25 mata asas lagi oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS bulan depan.

Selain itu, ia berkata, mata wang tempatan juga mendapat tekanan premium hasil bon Malaysia-AS 10 tahun yang sempit, jatuh di bawah 30 mata asas.

Namun, katanya, kerugian telah diimbangi sebahagiannya oleh bacaan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2023 China yang lebih kukuh daripada jangkaan sebanyak 4.5 peratus.

"Berikutan kekurangan pemangkin domestik, ringgit dijangka dipengaruhi oleh trajektori indeks dolar AS (DXY) dan dagangan antara RM4.42 hingga RM4.45 sedolar minggu ini," katanya.

AmBank Group dalam nota penyelidikan ekonominya, berkata ringgit menyusut 0.17 peratus kepada RM4.458 sedolar dan didagangkan dalam julat RM4.450 dan RM4.465 sedolar.

Bagi tinjauan minggu ini, ia menjangkakan paras sokongan ringgit berbanding dolar AS pada RM4.420 sedolar dan RM4.430 sedolar, sementara paras rintangan pada RM4.460 sedolar dan RM4.470 sedolar.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini