Ringgit cenderung naik sehingga RM4.37 sedolar AS minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cenderung naik sehingga RM4.37 sedolar AS minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan, bergerak dalam julat 4.3750 hingga 4.4000, kata seorang penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata dolar AS dijangka diniagakan rendah pada masa depan berikutan jangkaan yang meningkat terhadap pemberhentian kitaran kenaikan kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah tanda-tanda inflasi yang semakin mereda.

"Fed yang cenderung menurunkan kadar faedah masih menjadi naratif utama minggu hadapan dan ringgit dijangka diniagakan kukuh sedikit. Dengan Fed dijangka menghentikan kenaikan kadar selepas kenaikan 25 mata asas pada bulan Mei dengan risiko cenderung untuk kemungkinan penurunan kadar pada 2023, dolar berkemungkinan terus lemah, sekali gus menyokong ringgit.

"Mungkin satu-satunya sebab ringgit tidak diniagakan lebih kukuh ialah gabungan pasaran ekuiti tempatan yang lesu dan peningkatan ketegangan AS-China ke atas Taiwan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, satu lagi kelemahan besar ialah kekurangan penggunaan pengguna China, kerana penduduk tempatan bimbang tentang jaminan pekerjaan dan agak berjimat cermat setakat ini.

Pada asas minggu ke minggu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.4000/4025 berbanding 4.3995/4035 ketika ditutup pada Jumaat seminggu sebelumnya.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama berbanding minggu sebelumnya.

Ia susut berbanding pound Britain pada 5.5031/5062 daripada 5.4730/4780 seminggu sebelumnya dan turun berbanding euro kepada 4.8660/8687 daripada 4.8016/8060, tetapi meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3208/3229 daripada 3.3411/3443.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang lain di Asean. Mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar Singapura pada 3.3183/3204 daripada 3.3079/3114 pada minggu sebelumnya dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 299.1/299.5 daripada 295.00/295.30 sebelumnya.

Bagaimanapun, ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.97/7.98 daripada 8.08/8.09 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.9070/9208 daripada 12.9090/9279 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini