Ringgit semakin mengukuh, RM4.38 satu dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit semakin mengukuh, RM4.38 satu dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari ketiga berturut-turut selepas nilai dolar AS menyusut ekoran penurunan mengejut dalam data indeks harga pengeluar (IHPR) Amerika Syarikat (AS) untuk bulan Mac, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi Jumaat, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.3880/3915 berbanding dolar AS daripada kadar penutup Khamis pada 4.3995/4025.

Indeks Dolar AS yang mengukur dolar AS berbanding enam mata wang utama, jatuh 0.47 peratus kepada 101.01 mata setelah IHPR bulan Mac turun kepada 2.7 peratus berbanding 4.6 peratus pada Februari.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata tuntutan pengangguran awal di AS juga meningkat kepada 239,000 minggu lalu, mengatasi anggaran konsensus 232,000 dan paras minggu sebelumnya 228,000.

"Data sedemikian menunjukkan tanda-tanda penangguhan seketika dalam kenaikan kadar Rizab Persekutuan (Fed) kian nyata.

"Mata wang utama seperti euro, sterling dan yen lebih lebih tinggi berbanding dolar AS. Sehubungan itu, nilai ringgit berbanding dolar AS mungkin boleh meningkat lagi hari ini," katanya kepada Bernama.

Justeru, Mohd Afzanizam mengunjurkan nilai ringgit berbanding dolar AS berlegar sekitar RM4.39 dengan paras sokongan dan rintangan masing-masing pada RM4.3466 dan RM4.4236.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4951/4995 daripada 5.5047/5084 pada penutupan Khamis.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding euro kepada 4.8509/8548 daripada 4.8500/8533 dan lemah berbanding yen Jepun pada 3.3095/3123 berbanding 3.3034/3059 semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, mata wang tempatan itu diniagakan lebih tinggi.

Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia pada 297.50/297.90 daripada 298.3/298.7 pada penutupan Khamis dan lebih tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.8695/8862 daripada 12.8942/9083.

Ia turut meningkat berbanding dolar Singapura pada 3.3112/3143 daripada 3.3194/3219 dan mengukuh berbanding peso Filipina pada 7.94/7.96 daripada 7.96/7.97 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini