Ringgit terus merosot, RM4.45 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot, RM4.45 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini seiring dengan mata wang Asia lain apabila dolar AS mencatatkan kenaikan semalaman berikutan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi walaupun dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang agak lembap.

Pada 6 petang,April 26, 2023, ringgit diniagakan rendah pada 4.4565/4585 berbanding dolar AS daripada 4.4480/4520 yang disaksikan semalam.

Peniaga berkata, terdapat peningkatan permintaan terhadap dolar AS sebagai aset selamat berikutan kebimbangan yang diperbaharui ke atas sektor perbankan dan ekonomi AS susulan rentetan pendapatan korporat termasuk data keyakinan pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan, yang mengekalkan selera untuk kebanyakan aset dipacu risiko terhad minggu ini.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innesx, berkata pasaran juga kekal dalam mod berisiko berikutan pendapatan gergasi penghantaran AS, United Parcel Service (UPS) mula mencerminkan penyusutan dalam logistik di negara itu dan mungkin di seluruh dunia.

"Ini menjejaskan pengeksport Asia seperti Malaysia. Ringgit juga menerima kesan negatif daripada kejatuhan harga minyak memandangkan kurang permintaan daripada lori pengangkutan dan ini memberi kesan kepada harga diesel," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia jatuh berbanding euro kepada 4.9209/9231 daripada 4.9061/9106, turun berbanding yen kepada 3.3397/3415 daripada 3.3231/3264 dan merosot berbanding pound kepada 5.5573/5597 daripada 5.5462/5512 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 300.3/300.6 daripada 297.6/298.2, adalah lebih rendah berbanding baht Thailand kepada 13.0261/0365 daripada 12.9325/9494 dan mencatatkan kerugian berbanding dolar Singapura kepada 3.3387/3405 daripada 3.3293/3328 namun kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.01/8.02.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini