Dagangan ringgit bermula rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit bermula rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dipengaruhi oleh pengukuhan mata wang tempatan itu berbanding unit negara maju berikutan minat yang kembali kepada mata wang selamat, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi,April 26, 2023, ringgit berada pada 4.4600/4670 berbanding dolar AS daripada 4.4480/4520 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata terdapat sentimen enggan mengambil risiko di pasaran disebabkan pendapatan bank-bank di AS yang menghampakan pada suku pertama 2023, manakala pengguna di AS pesimis pada April.

"Perbincangan berhubung kemungkinan kepada langkah memperketat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang akan datang pada awal Mei adalah mencabar.

"Seterusnya, kami percaya ringgit boleh kekal lemah berikutan permintaan terhadap mata wang selamat akan menjadi dominan," katanya kepada Bernama sambil memaklumkan paras rintangan berada pada 4.4858 manakala paras sokongan pada 4.4236.

Sewaktu dibuka, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3358/3414 daripada 3.3231/3264 sewaktu ditutup pada Selasa, namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5353/5440 daripada 5.5462/5512 dan naik berbanding euro kepada 4.8962/9039 daripada 4.9061/9106.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN dengan mencatat kemerosotan berbanding rupiah Indonesia kepada 298.4/299.2 daripada 297.6/298.2 semalam dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3338/3393 daripada 3.3293/3328.

Ringgit turun kepada 8.02/8.06 berbanding peso Filipina daripada 8.01/8.02 sewaktu ditutup semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9802/13.0063 daripada 12.9325/9494.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini