Ringgit terus merosot, RM4.46 sedolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus merosot, RM4.46 sedolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini menongkah arus berbanding aliran serantau, meskipun prestasi lemah dolar AS.

Mata wang AS itu mencatatkan penurunan menjelang pengumuman data pertumbuhan ekonomi suku pertama ekonomi terbesar dunia itu pada lewat malam ini, di tengah-tengah kebimbangan isu lain di negara itu seperti risiko penularan kegagalan perbankan, kelembapan ekonomi dan kebuntuan berhubung had siling hutang, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meneruskan aliran menurunnya turun kepada 4.4605/4660 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4565/4585 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata prestasi ringgit agak tidak menentu berbanding dolar AS hari ini, bergerak dalam jajaran RM4.4545 hingga RM4.4633.

Beliau berkata, pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2023 AS pada malam ini akan dipantau rapat ketika peserta pasaran mencari petunjuk berkaitan momentum pertumbuhan yang perlahan dan bank pusat melakukan persediaan berdepan risiko pertumbuhan negatif.

"Pengelakan risiko mula berlaku dan ia akan menjadikan mata wang pasaran negara sedang pesat membangun menyusut berbanding dolar AS. Sekiranya KDNK suku pertama 2023 AS berada jauh di bawah unjuran pasaran pada 1.9 peratus, ia mungkin meningkatkan permintaan terhadap dolar AS dan akan menyebabkan ringgit menjadi lemah dalam tempoh terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Pengarah urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran masih kurang keyakinan terhadap ringgit, namun, jualan bagi minggu ini perlahan pada hari ini apabila pasaran eksport domestik menjangka ringgit berada di paras kemuncak penurunannya dan menjual dolar AS.

"Kami berpandangan tiga faktor yang menyebabkan penurunan ringgit adalah kebimbangan terhadap kemampanan pemulihan China, kemerosotan sentimen risiko global disebabkan kebimbangan kemelesetan dan kebimbangan terhadap persengketaan teknologi antara AS dan China.

"Ia menyebabkan kebimbangan di banyak pasaran manakala harga minyak terus menyusut yang memberi kesan negatif kepada ringgit semalaman," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali euro.

Unit tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.3337/3381 daripada 3.3397/3415 pada Rabu, naik berbanding pound kepada 5.5506/5575 daripada 5.5573/5597 dan susut berbanding euro kepada 4.9235/9296 daripada 4.9209/9231.

Bagaimanapun ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Unit tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.2/303.7 daripada 300.3/300.6 pada Rabu dan turun berbanding baht Thai kepada 13.0626/0841 daripada 13.0261/0365.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.00/8.02 daripada 8.01/8.02 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3379/3423 daripada 3.3387/3405.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini