Empat faktor punca ringgit mata wang ASEAN paling terjejas - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Empat faktor punca ringgit mata wang ASEAN paling terjejas


KUALA LUMPUR: Empat faktor menjadikan Malaysia menjadi negara yang paling terkesan dari segi kadar tukaran mata wang dalam kalangan negara ASEAN.

Ringgit hari ini terus didagangkan rendah berbanding kebanyakan mata wang negara utama ASEAN lain sehingga mencecah paras terendah dalam sejarah berbanding dolar Singapura, selain terendah dalam tempoh enam tahun sejak 2017 berbanding rupiah.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata empat faktor itu menyebabkan mekanisme yang diharapkan melalui kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi membantu ringgit pulih tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Faktor pertama yang memberi kesan kepada ringgit adalah penurunan harga minyak mentah sejak hampir satu tahun kebelakangan ini.

"Sebagai negara pengeksport minyak, Malaysia terkesan kepada permintaan ringgit serta sentimen luaran terhadap ekonomi negara.

"Tiga lagi faktor adalah pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), langkah mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS atau dedolarisasi serta keadaan ekonomi China yang semakin merudum," katanya kepada BH

Mohamad Khair berkata, pengukuhan dolar AS pada minggu ini dan laporan kelembapan ekonomi China telah menyebabkan sentimen pada nilai ringgit menjadi lemah.

"Ia juga menyebabkan pelabur asing mencari destinasi pelaburan lain yang lebih selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education (CME), Dr Carmelo Ferlito, turut berpendapat OPR tidak dapat memainkan peranan utama untuk mengukuhkan ringgit.

Beliau berkata, OPR dinaikkan atas faktor kebimbangan tekanan inflasi dan tidak dapat memberikan kesan besar kepada ringgit.

"OPR adalah alat yang terlalu terhad untuk memainkan peranan ke atas ringgit memandangkan saiz ekonomi Malaysia yang kecil, lebih sensitif kepada perubahan sentimen yang datang daripada berita antarabangsa serta kekurangan strategi ekonomi yang sahih," katanya.

Ferlito berkata, prestasi kukuh AS digandingkan dengan tahap ekonomi China yang agak mengecewakan turut menjadi faktor kelemahan ringgit.

Beliau berkata, ini kerana China adalah rakan kongsi perdagangan utama bagi Malaysia.

Malah, katanya kekurangan strategi ekonomi yang jelas daripada kerajaan semasa turut memberikan kesamaran dalam pengukuhan ringgit.

"Namun apabila memperkatakan mengenai pergerakan dalam pasaran atau turun naik nilai mata wang, ada banyak faktor penyebabnya.

"Sukar untuk mengasingkan satu faktor tunggal. Faktor berbilang ini menghasilkan kesan yang berbeza dan pergerakan ke bawah atau ke atas mungkin berlaku bergantung pada reaksi sentimen dalam pasaran," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini