OPR naik, ringgit ditutup tinggi dalam dua minggu - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

OPR naik, ringgit ditutup tinggi dalam dua minggu


KUALA LUMPUR: Ringgit terus mendapat rangsangan daripada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dan dolar AS yang semakin lemah dalam jangkaan bahawa Rizab Persekutuan tidak lama lagi akan mengakhiri kenaikan kadar dengan kadar yang lebih kecil.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada paras tertinggi dua minggunya pada 4.4350/4400 berbanding dolar AS 4.4525/4580 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi dan Analisis Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Bank Negara Malaysia yang positif terhadap prospek ekonomi domestik, di samping kesan limpahan daripada pembukaan semula China, juga telah membantu meningkatkan nilai ringgit.

"Gandingan dolar AS/ringgit kini menghampiri paras sokongannya pada 4.4254 manakala penunjuk teknikal lain menunjukkan bahawa ringgit berlegar pada kedudukan terlebih jual, keadaan yang mungkin membawa kepada peningkatan dalam ringgit dalam tempoh terdekat.

"Paras sokongan seterusnya berada pada 4.3488. Sekiranya Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) AS malam ini untuk bulan April berada pada 179,000 berdasarkan anggaran konsensus, berkemungkinan besar dolar AS menjadi lebih lemah," katanya.

Ekonomi AS menambah 236,000 pekerjaan NFP baharu bulan lepas, manakala pengangguran menurun kepada 3.5 peratus pada Mac daripada 3.6 peratus pada Februari.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.3050/3090 daripada 3.2833/2876 pada Rabu, merosot berbanding pound British kepada 5.5908/5971 berbanding 5.5727/5796 sebelum ini, namun meningkat berbanding euro kepada 4.89156/8955 daripada 4.9156/9216 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.Ia menokok berbanding peso Filipina kepada 8.02/8.03 daripada 8.04/8.05 ketika ditutup pada Rabu, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 302.1/302.6 daripada 303.3/303.5 sebelum ini, tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3464/3507 daripada 3.3420/3463, serta berbanding baht Thai kepada 13.1446/1661 daripada 13.0817/1037.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini