Ringgit mencecah RM4.60 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit mencecah RM4.60 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit turun berbanding dolar AS pagi ini, melepasi paras 4.6 apabila dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah di AS.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.6090/6130 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.5920/5950.

Ketua Ekonomi dan Kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasaran ekuiti AS ditutup rendah semalam manakala hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi, sekali gus menunjukkan aset tradisional terjejas teruk oleh kebuntuan mengenai hutang AS serta ketidaktentuan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada masa hadapan.

Beliau berkata, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) juga mencadangkan ahli-ahli agak bebelah bahagi tentang menaikkan kadar dasar, tetapi sebulat suara dalam keputusan mereka untuk terus menaikkannya sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat yang lalu.

Sementara di pasaran tempatan, Mohd Afzanizam berkata permintaan untuk ringgit agak lemah kerana peserta pasaran percaya Bank Negara Malaysia (BNM) telah hampir selesai dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Justeru, ringgit didagangkan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama pagi ini.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun pada 3.3056/3087 dari 3.3148/3172 pada penutupan Rabu tetapi lemah berbanding pound Britain kepada 5.6981/7031 daripada 5.6877/6914 dan turun berbanding euro kepada 4.9547/9590 daripada 4.9470/9502 semalam.

Ringgit juga didagangkan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang ASEAN lain.

Mata wang tempatan melepasi paras terendah dua dekad berbanding dolar Singapura pada 3.4131/4163 daripada 3.4091/4115 pada penutup Rabu, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 309.2/309.7 daripada 308.1/308.5 semalam dan turun berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.28 daripada 8.23/8.24 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding baht Thailand pada 13.2897/3066 daripada 13.2924/3073 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini