Ringgit menjunam lagi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit menjunam lagi


KUALA LUMPUR: Ringgit susut lagi untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini di tengah-tengah sentimen berwaspada terhadap prospek pertumbuhan global, kata seorang ahli ekonomi.

Pada 6 petang, ringgit menurun kepada 4.4975/5005 berbanding dolar AS daripada 4.4960/4985 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit menunjukkan trend lemah selepas sebahagian besar data ekonomi China yang dikeluarkan hari ini mencatatkan angka di bawah jangkaan berbanding apa yang diramalkan pasaran.

Biro Statistik Kebangsaan China melaporkan pelaburan aset tetap negara itu meningkat hanya 4.7 peratus berbanding anggaran konsensus pasaran sebanyak 5.5 peratus, manakala jualan runcit dan pengeluaran perindustrian masing-masing berjumlah 18.4 peratus serta 5.6 peratus, di bawah konsensus pasaran iaitu pada 21.0 peratus dan 10.9 peratus.

"Ini mencerminkan prospek pertumbuhan global masih mencabar tetapi harapan untuk China menjadi pemangkin utama pengembangan global berikutan pembukaan semula ekonomi masih wujud.

"Bagaimanapun, ia mungkin tidak mudah memandangkan kemungkinan halangan-halangan sedia ada di sepanjang jalan," kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding euro kepada 4.8991/9024 daripada 4.8863/8890 yang disaksikan semasa penutupan Isnin, jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6367/6405 daripada 5.6169/6200 dan lebih rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3126/3150 daripada 3.3010/3031 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/303.8 daripada 303.6/304.0 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2400/2547 daripada 13.3045/3174.

Berbanding dolar Singapura, ia melemah kepada 3.3659/3686 daripada 3.3592/3616 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.02/8.03.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini