Segera tingkat daya saing negara perkukuh ringgit - Ahli Ekonomi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Segera tingkat daya saing negara perkukuh ringgit - Ahli Ekonomi


KUALA LUMPUR: Daya saing negara yang semakin menurun perlu segera dipulihkan secara segera dan komprehensif dalam memantapkan lagi kedudukan mata wang, demikian mengikut ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi UKM-Graduate School of Business, Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali, berkata tren penyusutan mata wang ringgit berbanding dolar AS dilihat membimbangkan dan perlu diberi perhatian apabila mata wang tempatan itu diniagakan lebih RM4.60 berbanding dolar AS baru-baru ini.

"Kedudukan ekonomi negara perlu diberi perhatian yang khusus dan bersungguh-sungguh.

"Kita mesti berbincang mengenai ehwal ini. Ini ehwal kita. Dalam tempoh 13 tahun, kedudukan daya saing Malaysia berganjak dari kelas belasan, ke kelas dua puluhan dan kini kelas tiga puluhan! Ini tanggapan dunia terhadap kita.

"Penurunan sebegini bukan kejatuhan sementara, bukan bermula dari tahun lalu. Bukan sebab pandemik COVID-19. Ianya bersifat tren jangka panjang menurun yang jelas. (Ia) petanda yang tidak baik. Semua mesti bertindak bersama.

"Saya mengangkat perkara ini untuk tindakan kita semua-rakyat, firma dan kerajaan. Tidak kira siapa anda, kita semua bertanggungjawab. Ini negara kita. Saya di MINDA-UKM akan bersama negara mengukuhkan kembali dayasaing negara. Ayuh kita gerak bersama," katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya baru-baru ini.

Noor Azlan berkata, pengukuhan daya saing negara sangat penting dan semua pihak akan rugi sekiranya negara terkeluar dari liga persaingan global.

"(Ini) Bukan masa berbalah salah siapa. Masa bertindak, bersungguh dan komited memperbetulkan struktur ekonomi negara. Bukan pemulihan tetapi penstrukturan.

"Saya mencadangkan kerajaan bentuk kerangka tindakan yang komprehensif. Apa bidang fokus kita? Apa tindakan dan perubahan yang akan dilaksanakan? Apa sasaran yang hendak dicapai? Siapa yang akan menerajui setiap fokus? Siapa yang memantau? Siapa yang melapor?

"Tindakan secara berasingan, menangani secara rencah, masing-masing, tidak berkesan. Kita perlu 'comprehensiveness' of actions, semua pihak. Saling menyokong. Saya yakin kita belum terlewat dengan syarat bertindak dari sekarang.

Ask what you can do? Apa yang boleh saya dan anda lakukan.

"Kita sahut seruan PM (Perdana Menteri), mari bersama kita angkat martabat negara. Membina Malaysia Madani yang memberi kesejahteraan untuk semua," katanya.

Sementara itu Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng, berkata

antara langkah jangka pendek yang boleh dibuat bagi mengukuhkan ringgit ialah dengan menggalakkan pengeksport untuk menghantar pendapatan mereka, yang dalam dolar AS, kepada ringgit secepat mungkin.

"Kedua, pelaburan luar negara juga perlu dihantar pulang dan ditukar kepada ringgit. Dalam jangka sederhana, kerajaan boleh meningkatkan keyakinan pelabur dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia serta daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan.

"Sebagai contoh, pengumuman mengenai pelaburan baharu dan penubuhan semula operasi luar negara ke Malaysia adalah perkara yang boleh menimbulkan keyakinan terhadap Malaysia.

"Dalam jangka panjang, kerajaan mesti meneruskan penstrukturan semula ekonomi bagi menarik pelaburan bernilai tinggi kerana apabila ini berlaku, nilai ringgit akan meningkat," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini