KUALA LUMPUR: Kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berpotensi memberi risiko peningkatan semula kepada inflasi kerana memberi kesan kepada kos input import yang lebih tinggi, demikian menurut penganalisis.
Profesor Adjung Tun Ahmad Sarji School of Goverment and Public Services (TASSGPS) Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Zulkiply Omar, berkata kelemahan ringgit dijangka menyumbang kepada peningkatan inflasi berikutan inflasi import.
Beliau berkata, harga barangan pengguna kemungkinan besar akan meningkat kerana peniaga dijangka tidak akan menyerap kenaikan harga, sebaliknya akan dibebankan kepada pengguna.
"Inflasi diimport juga akan meningkatkan kos pengeluaran bagi barangan memerlukan input yang diimport, seterusnya menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna," katanya kepada BH.
Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, pula berkata secara amnya, kelemahan ringgit akan menjadikan import lebih mahal.
Beliau berkata, keadaan itu akan memberi tekanan kepada inflasi, yang dikatakan sebagai inflasi import berikutan keperluan untuk mengimport sesetengah barang.
"Namun, ia juga bergantung kepada permintaan," katanya.
Perkasa pemantauan
Sementara itu menurut Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, secara umumnya, kadar inflasi di negara ini sudah mencatatkan trend penurunan, iaitu 3.3 peratus pada April lalu berbanding 4.7 peratus yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.
Beliau berkata, penurunan itu banyak didorong oleh sektor makanan dan minuman bukan beralkohol serta pengangkutan kepada 6.3 peratus dan 2.1 peratus, yang mana kedua-dua komponen itu masing-masing mewakili 29.5 peratus dan 14.6 peratus dalam Indeks Harga Pengguna (IHP).
Katanya, trend itu seharusnya menunjukkan bahawa tekanan inflasi yang disumbang oleh faktor permintaan sudah berkurangan, sekali gus menunjukkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas sepanjang 2022 sehingga kini telah pun memenuhi objektifnya.
"Justeru, kebarangkalian OPR untuk dinaikkan lagi adalah kecil. Ini berikutan dasar monetari perlu juga mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi memandangkan prospek pertumbuhan pada masa akan datang dilihat semakin mencabar.
"Walau bagaimanapun, kadar inflasi bagi makanan dan minuman bukan beralkohol masih lagi dikira tinggi. Namun, penyelesaiannya memerlukan dasar yang lain seperti dasar pertanian negara bagi memenuhi keperluan makanan oleh rakyat tempatan," katanya.
Mohd Afzanizam juga tidak menolak bahawa kelemahan ringgit akan memberi kesan kepada inflasi berikutan negara sentiasa mengimport bagi kebanyakan produk agro makanan.
Beliau berkata, jika inflasi meningkat, ia masih dalam paras jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tahun ini, iaitu antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus.
Katanya, jika rasionalisasi subsidi petrol dilaksanakan, paras inflasi akan bergerak menghampiri paras 3.8 peratus.
Selain itu, Mohd Afzanizam berkata, pemantauan aktiviti perniagaan sepanjang rantaian industri perlu diperkasakan supaya harga makanan tidak melambung tinggi akibat kegiatan perniagaan yang songsang seperti perbuatan sorok, manipulasi harga dan juga aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, penyelesaian kepada masalah inflasi tidak terhad kepada kawalan harga, subsidi dan dasar monetari.
Katanya, ia perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, terutama landskap di dalam sesebuah industri.