MOSCOW – Kedudukan monopoli mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dicabar secara serius oleh pengukuhan yuan China setelah percubaan Washington untuk melemahkan ekonomi Russia dengan menggunakan mata wang itu sebagai ‘senjata’ menemui kegagalan, lapor laman berita RT kelmarin.
Ketua Bank VTB, Andrey Kostin berkata, dengan keadaan geopolitik semasa, semakin banyak negara beralih daripada menggunakan dolar AS dan euro dalam perdagangan. Dalam masa sama, China bergerak ke arah menghapuskan dasar mata wang yang ketat.
“Era yang panjang bagi penguasaan dolar AS akan berakhir. Saya berpendapat sudah tiba masanya China akan menghapuskan sekatan terhadap mata wangnya secara beransur-ansur,” kata Kostin yang mewakili bank milik kerajaan Russia itu.
Menurut beliau, Bank VTB contohnya, telah berbincang untuk menggunakan mata wang yuan dengan negara-negara dunia ketiga.
“China memahami bahawa ia tidak akan menjadi kuasa ekonomi dunia nombor satu jika terus mengekalkan yuan sebagai mata wang yang tidak boleh ditukar,” jelasnya sambil menambah, adalah berbahaya bagi negara tersebut untuk menyimpan rizab yang dilaburkan dalam Perbendaharaan AS.
Dolar AS menikmati status mata wang rizab dunia selama lebih satu abad selepas ia berjaya mengatasi pound sterling.
Awal bulan ini, penganalisis daripada JPMorgan Chase berkata, ekonomi global menunjukkan tanda-tanda bahawa dolar AS tidak akan lagi digunakan secara meluas, didorong oleh peningkatan usaha oleh ekonomi Asia untuk mencabar monopoli mata wang itu.
Status dolar AS sebagai mata wang dominan dunia semakin terhakis sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap hutang negara berkenaan yang melambung tinggi selain sekatan secara meluas dengan memanfaatkan mata wang itu.
Data dikeluarkan Tabung Kewangan Dunia (IMF) baru-baru ini menunjukkan proses untuk menggunakan mata wang lain selain dolar AS oleh negara-negara seluruh dunia kini semakin pantas.
Statistik dipantau IMF menunjukkan penguasaan dolar AS dalam rizab emas rasmi dan mata wang asing jatuh ke paras terendah dalam hampir tiga dekad iaitu 58 peratus pada suku keempat 2022.
Menurut firma pelaburan dari Britain, Eurizon SLJ Capital, apa yang berlaku pada 2022 adalah kejatuhan yang sangat mendadak dalam nilai sebenar penguasaan dolar.
“Ia menyebabkan negara-negara seperti Arab Saudi, China, India dan Turkiye mula mempertimbangkan untuk mempelbagaikan rizab mereka dalam mata wang lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Eurizon SLJ Capital, Stephen Jen.
Selain itu, peningkatan ekonomi China yang menakjubkan dalam tempoh 40 tahun lalu, kesan daripada perang di Ukraine dan perbalahan mengenai had siling hutang AS turut telah meletakkan status dolar di bawah penelitian baharu.