Enam faktor punca prestasi ringgit lemah - Ahli Ekonomi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Enam faktor punca prestasi ringgit lemah - Ahli Ekonomi

 


KUALA LUMPUR: Prestasi lemah ringgit berbanding negara serantau adalah disebabkan oleh enam faktor yang memberi tekanan kepada mata wang tempatan itu, demikian menurut OCBC Bank.

Dalam laporan tinjauan ekonomi separuh kedua 2023, bank itu berkata, faktor luaran adalah termasuk penurunan renminbi ekoran kelemahan ekonomi China, kekuatan dolar Amerika Syarikat (AS), kadar pulangan hasil perbendaharaan AS yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia serta kelemahan umum dalam harga minyak.

Katanya, faktor domestik pula termasuk lebihan akaun semasa yang semakin berkurangan dan langkah berhati-hati Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan dasar monetari selepas penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) utama.

Mata wang tempatan mencatat paras harian terendah 4.6502 berbanding dolar AS pada sesi pagi semalam yang juga terendah dalam tempoh tujuh bulan iaitu pada 11 November 2022.

"Memandangkan faktor-faktor ini, ringgit mungkin terus mengalami tekanan dalam jangka pendek. Untuk mengukuhkan nilainya, beberapa faktor luaran perlu dipulihkan.

"Penyusutan renminbi perlu diperlahankan atau dibalikkan, data China seharusnya menunjukkan pertumbuhan (dengan harapan China menggiatkan semula perdagangan), dan/atau langkah Rizab Persekutuan (Fed) menghentikan kenaikan kadar (iaitu kitaran mengetatkan dasar berakhir atau peralihan kepada pemotongan kadar) untuk mengurangkan kekuatan dolar AS dan kadar hasil Perbendaharaan AS turun ke paras lebih rendah.

"Unjuran kami bagi gandingan dolar AS/ringgit ialah RM4.50 pada akhir 2023 dan RM4.40 pada akhir 2024. Di samping itu, kitaran kenaikan berpanjangan dalam harga komoditi juga tidak mungkin berlaku buat masa ini, lantas menekankan kelemahan luaran Malaysia," katanya.

Tinjauan itu disediakan oleh Ketua Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling dan Pakar Ekonominya, Lavanya Venkateswaran.

Mengulas lanjut, bank itu berkata, harga minyak telah jatuh daripada tahap tertinggi selepas pandemik tetapi masih kekal melebihi purata sebelum pandemik.

"Kami meramalkan minyak Brent pada harga purata AS$90 setong bagi 2023 berbanding harga semasa AS$74 setong, dan ini memberikan andaian berlaku kenaikan selanjutnya sehingga hujung tahun.

"Kami meramalkan secara khusus bahawa harga minyak akan kembali pulih pada separuh kedua 2023 sambil stok minyak terkumpul mula berkurangan dan pasaran beralih kepada situasi defisit fizikal.

"Dalam pada itu, harga minyak telah turun lebih separuh daripada paras tertinggi rekod tahun lalu, tetapi masih kekal melebihi purata sebelum pandemik," katanya.

Bank itu menambah, penurunan harga komoditi mencerminkan bekalan minyak makanan global yang bertambah baik dan pengurangan premium minyak sawit berbanding minyak lain yang menjadi pesaingnya seperti kacang soya dan biji sesawi.

"Di samping itu, permintaan lebih rendah daripada India, sebuah negara pengimport penting, serta bekalan tinggi daripada Indonesia dan Malaysia, telah menambah kepada sentimen negatif bagi harga minyak sawit.

"Bagi tempoh selanjutnya tahun ini, kami meramalkan bekalan minyak sawit kembali normal sambil kekurangan buruh dalam sektor minyak sawit mentah (MSM) Malaysia mula reda.

"Walaupun begitu, risiko berkaitan El Nino perlu dipantau rapi," katanya

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini