Regim tukaran fleksibel ringgit baik untuk Malaysia - IMF - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Regim tukaran fleksibel ringgit baik untuk Malaysia - IMF


KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyifatkan rejim kadar pertukaran fleksibel yang diguna pakai Malaysia adalah baik untuk negara ini.

Malah, komitmen berterusan penggubal dasar negara ini terhadap fleksibiliti kadar pertukaran juga dialu-alukan badan antarabangsa itu.

Ia berkata, tekad pihak berkuasa negara ini untuk menjaga kestabilan sektor kewangan juga dialu-alukan memandangkan terdapat risiko yang muncul.

Badan kewangan dunia itu berkata, pemantauan yang dipertingkatkan, terutamanya entiti yang mempunyai leveraj tinggi dan institusi kewangan bukan bank, adalah wajar memandangkan peningkatan risiko daripada kenaikan kadar faedah, keadaan kewangan yang lebih ketat, susut nilai tukaran mata wang, dan jangkaan pertumbuhan yang lebih lemah.

"Memperluaskan kit alat kehematan makro seharusnya menyokong usaha ini. Sektor kewangan Malaysia dilengkapi dengan baik untuk mengemudi sebarang potensi peningkatan dalam turun naik dan penghindaran risiko global dan tiada kebimbangan kestabilan yang meluas," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Lembaga Eksekutif IMF memuktamadkan perundingan Artikel IV 2023 dengan Malaysia.

IMF berkata, dasar monetari di negara ini harus diperketatkan lagi untuk membawa pendirian kepada kedudukan neutral dan Bank Negara Malaysia (BNM) harus terus menyampaikan dengan jelas rasional bagi keputusan dasarnya, memandangkan landskap yang berkembang pesat dan ketidaktentuan yang tinggi.

Ia berkata, dasar monetari yang lebih ketat akan memastikan jangkaan inflasi lebih terkawal, selain wujudkan ruang bertindak balas terhadap risiko penurunan.

IMF juga mengalu-alukan hasrat pihak berkuasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk meningkatkan daya tahan ekonomi yang boleh dipercayai, menuju ke arah pelepasan gas rumah hijau sifar bersih, dan menggalakkan pertumbuhan inklusif, adalah dialu-alukan.

Ia berkata, permulaan kerajaan baharu memberi peluang tepat pada masanya untuk meneruskan agenda reformasi bersepadu.

Katanya, pembaharuan tadbir urus dan antirasuah yang utuh, termasuk pelaksanaan strategi yang digariskan dalam Pelan Pencegahan Rasuah Nasional, akan mengukuhkan pengurusan kewangan awam, dan menambah baik penyampaian perkhidmatan sektor awam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini