Ringgit kembali meningkat berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali meningkat berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit pulih daripada penurunan empat hari berturut-turut untuk ditutup lebih tinggi pada Jumaat, didorong oleh sentimen yang lebih baik apabila perjanjian had hutang Amerika Syarikat (AS) dimuktamadkan dan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan akan menghentikan kenaikan kadar faedah pada Jun.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu naik kepada 4.5745/5785 berbanding dolar AS 4.6110/6165 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kebuntuan mengenai had hutang AS telah diselesaikan, membuka jalan kepada kerajaan AS untuk menunaikan obligasi hutang dan program perbelanjaan mereka.

"Ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada RM4.5745 daripada RM4.6110 ketika ditutup sehari sebelum ini. Paras rintangan kini berada pada RM4.5491," katanya kepada Bernama.

Mungkin minggu depan, gandingan dolar AS/ringgit bergerak ke arah itu kerana Rizab Persekutuan dijangka berhati-hati dalam penilaian mereka pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan datang pada 13 hingga 14 Jun, katanya.

Pada penutup dagangan hari ini, ringgit juga tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.7323/7373 daripada 5.7407/7475 ketika ditutup semalam, menokok berbanding euro pada 4.9254/9297 daripada 4.9356/9415 dan lebih tinggi sedikit berbanding yen kepada 3.2957/2989 daripada 3.2995/3036 semalam.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang Asean lain.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 305.0/305.5 daripada 307.4/308.0 ketika ditutup pada Khamis, meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2402/2591 daripada 13.2569/2792 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.19 daripada 8.19/8.21 sebelumnya.

Ia hampir tidak berubah kepada 3.4026/4059 berbanding dolar Singapura 3.4095/4138 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini