Ringgit ambil peluang sentimen lemah dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ambil peluang sentimen lemah dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pemulihan awalnya pada akhir urus niaga hari ini dan ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila selera risiko meningkat dalam persekitaran sentimen dolar AS yang lemah.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu ditutup pada 4.6115/6160 berbanding dolar AS 4.6185/6235 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peserta pasaran mengambil petunjuk daripada kenyataan mengenai jumlah pengangguran di AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, iaitu sebanyak 261,000 minggu lalu berbanding anggaran konsensus sebanyak 235,000.

Beliau berkata data terkini menunjukkan bahawa ekonomi AS semakin lemah, membawa kepada penurunan nilai dolar AS.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berpendapat mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan pada 13 dan 14 Jun akan menjadi perhatian utama.

"Minggu ini, kita melihat Reserve Bank of Australia (RBA) dan Bank of Canada (BOC) secara tidak dijangka menaikkan kadar faedah mereka sebanyak 25 mata asas.

"Jadi persepsinya adalah bahawa Rizab Persekutuan AS mungkin turut mengikut langkah tersebut kerana beberapa ahlinya masih cenderung untuk menaikkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.7819/7875 daripada 5.7537/7600 ketika ditutup pada Khamis, jatuh berbanding euro kepada 4.9611/9659 daripada 4.9557/9610 semalam tetapi melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.3022/3059 daripada 3.3041/3079 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Unit tempatan menguncup berbanding dolar Singapura kepada 3.4294/4330 daripada 3.4290/4332 pada Khamis, turun berbanding baht Thai kepada 13.3196/3376 daripada 13.2647/2848 dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 310.6/311.2 daripada 310.0/310.5 semalam.

Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.23/8.24.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini