Ringgit cenderung mengukuh minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cenderung mengukuh minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan secara berhati-hati dan cenderung untuk mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) membabitkan dasar monetari.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pergerakan dolar AS/ringgit dijangka dalam aliran berhati-hati ketika pihak Fed memaparkan penilaian lebih terkawal di mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 13 hingga 14 Jun ini.

"Oleh itu, pengumuman berkaitan Gaji Bukan Perladangan (NFP) bagi Mei yang dijangka lebih perlahan kepada 195,000 pekerjaan berdasarkan konsensus semasa, akan menetapkan sentimen minggu depan ketika menghampiri tarikh mesyuarat FOMC," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, paras rintangan segera bagi ringgit pada masa ini adalah pada RM4.5491.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit dijangka diniagakan mengukuh sedikit berikutan penangguhan Fed dalam penetapan harga pasaran pada Jun.

"Saya menjangkakan pada paras 4.5675 berbanding 4.5875 dengan mengambil kira tiada kejutan baharu berkaitan NFP," katanya.

Dalam pada itu, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama dalam tempoh enam hari.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit lebih mengukuh berbanding dolar AS pada 4.5745/5785 daripada 4.5970/6035 seminggu sebelumnya.

Ringgit juga meningkat berbanding euro kepada 4.9254/9297 daripada 4.9340/9409 sebelumnya.

Ia bagaimanapun hampir mendatar berbanding yen Jepun pada 3.2957/2989 daripada 3.2918/2967 sebelum ini dan susut berbanding pound Britain kepada 5.7323/7373 daripada 5.6819/6899 pada Jumaat lalu.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang lain di ASEAN.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.2402/2591 daripada 13.2539/2784, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 305.0/305.5 daripada 307.3/307.9 dan bertambah baik berbanding peso Filipina kepada 8.18/8.19 daripada 8.24/8.25 sebelum ini.

Namun ringgit susut berbanding dolar Singapura pada 3.4026/4059 daripada 3.4012/4062 pada akhir dagangan mingguan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini