Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


RINGGIT diniagakan rendah berbanding dolar AS pada Selasa di tengah-tengah peningkatan permintaan terhadap aset selamat, terutamanya dolar AS, apabila peserta pasaran memantau rapat hala tuju yang diambil bank pusat seperti People’s Bank of China (PBoC) dan Bank of England (BoE)

Pada jam 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.6385/6425 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6265/6350 pada Isnin.

Ketua ahli ekonomi dan ketua kewangan sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah terbaharu oleh PBoC untuk menurunkan kadar dasarnya sebanyak 10 mata asas telah mencetuskan semula tanggapan ekonomi global yang perlahan.

"Selain itu, kemungkinan langkah mengetatkan monetari oleh BoE pada Khamis akan menyokong pandangan bahawa keadaan kekangan monetari global akan memberi kesan kepada pertumbuhan global,” katanya kepada Bernama

Beliau juga berkata, penurunan Eksport Malaysia yang lebih kecil daripada jangkaan pada Mei menunjukkan bawah kepelbagaian dalam eksport negara mungkin membantu mengurangkan impak daripada ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

"Dolar AS-ringgit (kadar) terapung sekitar RM4.6280 hingga RM4.6398 sepanjang hari dagangan,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.9220/9271 daripada 5.9242/9351 pada Isnin tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.2751/2781 daripada 3.2588/2650 sebelumnya dan turun berbanding euro kepada 5.0676/0719 daripada 5.0470/0563.

Unit tempatan juga lemah berbanding mata wang negara-negara Asean lain.

Rupiah Indonesia dan ringgit mendahului penurunan dalam kalangan mata wang utama Asia berbanding dolar AS apabila kadar petunjuk aras pertama China dalam tempoh 10 bulan gagal menenangkan pelabur yang mencari lebih banyak rangsangan.

Unit tempatan turun berbanding baht Thai kepada 13.3486/3666 daripada 13.2926/3236 pada Isnin, susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4551/4584 daripada 3.4490/4556 sebelumnya dan jatuh berbanding rupiah Indonesia kepada 309.0/309.5 daripada 308.5/309.2 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 8.35/8.36 daripada 8.30/8.32.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini