Ringgit ditutup tinggi di paras RM4.61 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup tinggi di paras RM4.61 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan pendirian tidak agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) terhadap kenaikan kadar faedah serta prospek perbelanjaan fiskal di China untuk merangsang perbelanjaan pengguna, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit berada di paras 4.6130/6165 berbanding dolar AS daripada 4.6235/6280 pada akhir urus niaga pada Khamis.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kenyataan mengenai pengangguran AS adalah di luar jangkaan yang menunjukkan pasaran pekerjaan AS semakin reda, justeru Fed AS tidak perlu bersikap agresif dengan kenaikan kadar faedah.

Selain itu, beliau berkata prospek perbelanjaan fiskal di China untuk merangsang perbelanjaan pengguna telah menyaksikan dagangan yuan lebih kukuh sejak 24 jam lalu, memberikan tarikan positif kepada ringgit.

"Jika pengangguran lebih tinggi di AS ditambah pula dengan jangkaan inflasi yang menurun sepanjang musim panas (bulan Jun hingga September), ia akan mempengaruhi Fed untuk tidak menaikkan kadar, melemahkan sedikit dolar AS dan mengukuhkan ringgit," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama dunia.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2721/2748 daripada 3.2781/2816 pada Khamis tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.9014/9059 daripada 5.8543/8600 dan turun berbanding euro kepada 5.0503/0541 daripada 5.0151/0200.

Bagaimanapun, unit tempatan itu mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan naik berbanding rupiah Indonesia pada 308.7/309.1 daripada 309.1/309.6 tetapi turun berbanding baht Thai kepada 13.2974/3140 daripada 3.2783/2981 dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.4513/4542 daripada 3.4442/4481 semalam.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah peso Filipina pada 8.26/8.27.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini