Ringgit merosot berikutan kurang pemangkin - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit merosot berikutan kurang pemangkin


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan kekurangan pemangkin.

Pada 6 petang, unit tempatan ditutup pada 4.6195/6235 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6115/6185 pada Selasa.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata walaupun Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS dijangka menghentikan seketika kenaikan kadar faedah kemudiannya, terdapat kemungkinan besar ia bakal menandakan kenaikan kadar faedah pada Julai, yang mana memberi prospek positif kepada dolar AS.

"Bagaimanapun perbincangan meluas berkaitan kelemahan ringgit tertumpu kepada perkaitan rapat dengan yuan, perbezaan kadar faedah yang besar dan aliran keluar pelaburan bersih. Bank Negara Malaysia (BNM) masih memantau dengan rapat inflasi kerana kadar sebenar kekal negatif dan kawalan harga boleh diselaraskan.

"Ringgit dijangka terus lemah dalam tempoh terdekat ini berikutan data China yang kurang memberangsangkan dan BNM tidak dijangka menimbangkan penurunan kadar dalam kalangan bank pusat Asia," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata petunjuk teknikal menunjukkan kemungkinan pembetulan dalam pergerakan dolar AS/ringgit tetapi setakat ini ia belum menjadi kenyataan.

"Keputusan FOMC pada malam ini penting kerana Rizab Persekutuan AS juga akan mengumumkan unjuran data suku tahun terbaharunya yang akan membayangkan laluan masa depan kadar dana Fed," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3015/3046 daripada 3.3043/3096 pada Selasa tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.8423/8473 daripada 5.7953/8041 dan jatuh berbanding euro kepada 4.9918/9962 daripada 4.9823/9898.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 309.8/310.3 daripada 310.2/310.8 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.3192/3380 daripada paras 13.3442/3699 pada Selasa.

Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4433/4465 daripada 3.4399/4454 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.26/8.27 daripada 8.24/8.26.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini