Ringgit naik sedikit menjelang data inflasi di AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit naik sedikit menjelang data inflasi di AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa menjelang pengumuman indeks harga pengguna AS untuk Mei lewat hari ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu ditutup pada 4.6115/6185 berbanding dolar AS 4.6175/6220 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS berkemungkinan mengekalkan Kadar Dana Fed (Rizab Persekutuan AS) semasa mesyuarat pada 13 hingga 14 Jun.

"Tetapi persoalan yang lebih penting ialah sama ada ia akan meneruskan kempen kenaikan kadar semula pada Julai dan seterusnya. Sehubungan itu, ringgit dijangka akan berada pada jajaran julat yang kecil dalam tempoh terdekat sehingga lebih banyak penjelasan mengenai jangkaan terhadap kadar faedah di AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7953/8041 daripada 5.8157/8214 ketika ditutup pada Isnin dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3043/3096 daripada 3.3162/3197, tetapi jatuh berbanding euro kepada 4.9823/9898 daripada 4.9804/9853 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4399/4454 daripada 3.4408/4444 pada Isnin dan lebih tinggi sedikit berbanding rupiah Indonesia pada 310.2/310.8 berbanding 310.6/311.0 semalam.

Mata wang tempatan itu, bagaimanapun, turun berbanding baht Thailand kepada 13.3442/3699 daripada 13.3400/3599 sebelum ini dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.26 daripada 8.23/8.25.



Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini