Tekanan terhadap ringgit dijangka reda selepas isu siling hutang AS selesai - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Tekanan terhadap ringgit dijangka reda selepas isu siling hutang AS selesai


KUALA LUMPUR: Kerajaan berharap tekanan terhadap ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ini dapat dikurangkan apabila isu membabitkan siling hutang kerajaan AS dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata berita terkini melaporkan bahawa kerajaan AS cuba untuk menyelesaikan isu siling hutang negara itu secepat mungkin.

Katanya, Presiden AS, Joe Biden ada menyebut bahawa pentadbirannya cuba menyelesaikan perkara ini sebelum 5 Jun ini, iaitu tinggal beberapa hari sahaja lagi.

"Kita harap apabila perkara ini selesai maka ringgit, tidak sebagaimana apa yang berlaku pada hari ini. Saya tidak boleh bercerita lebih daripada itu, kita tunggu perkembangan lima ke enam hari lagi, supaya apa yang berlaku di AS dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Apa yang disebutkan oleh Pengerusi SC (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia) dalam mesyuarat bersama saya tadi, sekarang ini, pelabur dan mereka terbabit dalam perniagaan memegang dolar AS apabila berlaku 'stalemate' (kebuntuan) mengenai siling hutang di AS.

"Namun apabila siling hutang itu boleh ditingkatkan, maka pegangan dan permintaan terhadap dolar AS akan berkurangan, menyebabkan tukaran asing antara ringgit dan dolar AS akan berkurangan sekali gus melegakan tekanan terhadap ringgit. Kita harap begitu dalam lima hari dari sekarang," katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi ke SC di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pengarah Eksekutif, Komunikasi Strategik dan Pejabat Pengerusi SC, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Menurut laporan media antarabangsa, siling hutang AS telah dilanjutkan ke tarikh akhir baharu pada 5 Jun ini sebelum negara itu berdepan kemelut kehabisan wang jika had hutang tidak dinaikkan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini