'Tiada sebab kukuh ringgit cecah RM5 sedolar AS' - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

'Tiada sebab kukuh ringgit cecah RM5 sedolar AS'


KUALA LUMPUR: Tiada sebab kukuh untuk ringgit mencecah paras RM5 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) memandangkan negara bukan berada dalam krisis, demikian kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid.

Beliau berkata, pihaknya tidak melihat ringgit benar-benar menuju ke arah itu, namun mengakui turun naik tidak menentu akan berlaku dalam pergerakan mata wang tempatan.

Katanya, bank pusat juga tidak melihat sebarang trend yang membimbangkan atau tekanan spekulasi membabitkan pergerakan mata wang tempatan itu.

"Adakah realistik ringgit (cecah) RM5 (berbanding satu dolar AS)? Sudah pasti tidak. Tiada sebab untuk itu, kita bukan berada dalam krisis," katanya pada Simposium Sasana BNM 2023 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kemungkinan ringgit mencecah paras RM5 berbanding dolar AS dan BNM mempunyai rancangan jika ia berlaku ketika sesi panel bertajuk 'Navigating Ringgit Exchange Rate Dynamics' pada simposium kali pertama anjuran BNM itu.

Mengulas lanjut, Adnan Zaylani berkata, aliran keluar berterusan dilihat berlaku, namun ia masih diuruskan dengan baik.

Beliau berkata, pasaran dilihat boleh menguruskan turun naik tidak menentu ringgit itu.

Katanya, ringgit boleh mencecah paras RM5 jika berada dalam krisis seperti yang dilihat ketika ringgit melemah dari paras RM2.50 ke RM3 dan seterusnya ke RM4, yang ketika itu krisis berlaku.

Namun begitu, beliau berkata, ringgit mungkin boleh kembali mengukuh dengan pantas ke paras RM4 berbanding dolar AS jika keadaan bertambah baik.

Mengulas sama ada BNM mempunyai perancangan jika ringgit mencecah RM5 berbanding dolar AS, Adnan Zaylani berkata, sudah pasti sebagai bank pusat, lazimnya ia mempunyai perancangan.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini