Untuk Menjadi Pedagang Hebat, Anda Harus Elakkan 18 Kesilapan Perdagangan ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers
InstaForex

Untuk Menjadi Pedagang Hebat, Anda Harus Elakkan 18 Kesilapan Perdagangan ini

Pernahkah anda terfikir apakah yang membantu semua profesional di Wall Street sehingga berjaya? Anda akan terkejut, tetapi kunci untuk mencapai sehingga ke tahap mereka ada terselindung di sebalik kesilapan-kesilapan mereka. Ya, itulah kebenarannya. Kebanyakan pedagang yang sukses dan profesional telah melakukan banyak kesilapan sebelum mereka sampai ke mercu kejayaan.

Kesilapan adalah lumrah dan kadangkala ia perlu kerana ia banyak mengajar anda. Yang penting di sini ialah jangan sekali-kali mengulangi kesilapan tersebut kerana sesetengah kesilapan mendatangkan kerugian yang amat besar. Itulah sebabnya kami telah mengumpulkan 18 kesilapan perdagangan paling lazim yang mesti dielakkan, dengan harapan ini dapat menghindarkan anda dari mengalami kerugian.


18 kesilapan utama yang dilakukan oleh setiap pedagang pemula dan bagaimana cara mengelaknya

1. Persiapan yang tidak mencukupi

Memasuki pasaran Forex sememangnya agak mudah, jadi ramai mengambil sikap sambil lewa terhadap ilmu perdagangan dan tidak cuba untuk mempelajari kesilapan Forex yang paling lazim agar ia dapat dielakkan. Pedagang novis, terutamanya, berpendapat bahawa teori bukanlah satu masalah besar, dan mereka akan dapat menguasainya tanpa masalah dan bersusah payah. Namun, realitinya tidak begitu. Tanpa asas yang baik, anda tidak akan menghasilkan pelan perdagangan yang memadai atau mungkin terlepas signal perdagangan yang baik dan yang buruk. Kekurangan pengetahuan asas Forex sentiasa membawa kepada akibat yang tidak menyenangkan.

Untuk mengelakkan perkara ini dan kesilapan-kesilapan lazim yang sama, ramai pedagang yang berjaya telah memulakan pendidikan kewangan mereka lama sebelum mereka menyertai pasaran Forex. Namun, jangan bimbang. Anda tidak memerlukan ijazah untuk mula berdagang. Tiada siapa yang akan memberi tekanan kepada anda jika anda tidak mengetahui apa-apa strategi atau pola carta perdagangan. Namun begitu, untuk menunjukkan hasil yang baik, anda perlu memahami apa yang anda lakukan.

Cari masa untuk mendalami Forex dan kembangkan kemahiran anda. Sama ada anda mempelajari beberapa teori kewangan pada hujung minggu atau hanya setengah jam setiap hari, pastikan anda melakukan ini secara berterusan.

Jadi, bagaimana caranya untuk mempersiapkan diri anda untuk berdagang dan berkenalan dengan pasaran Forex? Cara yang terbaik dan termudah ialah mencari broker yang boleh dipercayai. Sebagai peraturan, mereka bukan sekadar menyediakan platform untuk berdagang kepada orang ramai. Broker membekalkan pedagang mereka dengan sesi pendidikan, seperti webinar dan seminar percuma, kursus dalam talian, tutorial, dsb.

2. Berdagang tanpa pelan dan strategi

Sudah menjadi satu perkara lazim di kalangan pemula untuk memasuki pasaran Forex dan mula mendagangkan beberapa instrumen secara melulu hanya kerana mereka menyukai aset tersebut. Tambahan pula, para pemula juga sering bertindak berdasarkan pada beberapa strategi hanya kerana mereka memahaminya dengan lebih baik.

Berdagang secara intuitif dan tidak sistematik berkemungkinan besar tidak akan memihak kepada anda, walaupun ia memberi manfaat pada mulanya. Tanpa pelan dan strategi, anda mungkin panik apabila harapan dan kesukaan anda menyimpang dari jangkaan anda. Ia boleh menjurus kepada keputusan pasaran yang tergesa-gesa yang mengakibatkan salah satu kesilapan perdagangan yang paling lazim.

Adalah penting untuk melihat perdagangan sebagai satu perniagaan: buat penyelidikan, tetapkan sasaran, rangka strategi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, pertimbangkan jumlah yang anda mampu lihat terhangus, dsb.

Pada masa ini, anda juga boleh menguji strategi perdagangan anda dan potensinya sebelum mempertaruhkan wang anda. Sesetengah broker menawarkan akaun Demo kepada pedagang mereka.

Dengan perkataan lain, pelan yang menyeluruh mempersiapkan anda agar tidak dicengkam perasaan panik sekiranya situasi pasaran berubah. Jadi, rangka satu pelan dan patuhi ia.

3. Salah mengira nisbah risiko/ganjaran

Nisbah risiko/ganjaran ialah perbezaan antara aras entri suatu dagangan dengan aras pesanan Renti Rugi dan Ambilan Untung. Ia digunakan untuk membandingkan jangkaan pulangan bagi suatu dagangan dengan risiko yang diambil untuk mendapatkan pulangan ini.

Atas sebab tertentu, ramai pedagang percaya bahawa urusniaga yang keuntungannya lebih tinggi adalah lebih menguntungkan daripada yang keuntungannya lebih rendah. Kadangkala, idea ini membuahkan hasil, dan disebabkan oleh nasib semata-mata, urusniaga yang potensi risikonya mengatasi potensi ganjaran akhirnya berjaya. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, urusniaga sedemikian membuka pintu seluas-luasnya untuk kesilapan-kesilapan lazim dalam perdagangan serta kerugian dalam jangka panjang.

Mengira nisbah risiko/ganjaran ialah satu peraturan yang perlu dipertimbangkan oleh setiap pedagang, sama ada mereka adalah seorang pemula atau seorang profesional. Sebelum membuka suatu urusniaga, tentukan potensi ganjaran. Ia harus sentiasa dipastikan lebih besar berbanding risikonya.

Jadi, untuk mengira nisbah tersebut, anda perlu membahagikan jarak antara titik masuk urusniaga dan pesanan Renti Rugi (risiko) dengan jarak antara sasaran keuntungan dan titik masuk (ganjaran). Jika hasil pengiraan lebih besar daripada 1.0, risiko lebih besar daripada ganjaran.

4. Mengabaikan pengurusan risiko

Pengurusan risiko harus menjadi teras perdagangan anda kerana ia membantu mengurangkan kerugian. Berdagang tanpa pengurusan risiko adalah seperti terjun dari pesawat terbang tanpa payung terjun.

Terdapat beberapa cara dan teknik untuk melindungi diri anda daripada kerugian dan mengambil peluang untuk menutup urusniaga dalam keadaan untung.

Adalah penting untuk menerapkan pendekatan yang positif dan strategik untuk pengurusan risiko. Gunakan leveraj yang sesuai, kaji kebaikan Renti Rugi dan Ambilan Untung, teliti angka-angka urusniaga dan harga. Semua ini membantu mencegah kesilapan perdagangan yang lazim dan mengurangkan kerugian.

5. Tidak mengendahkan acara pasaran

Berita pasaran yang relevan adalah penting kerana peristiwa ekonomi mempengaruhi arah perdagangan sepanjang sesi perdagangan. Jadi, jika anda tidak awas dengan penerbitan laporan kewangan atau perolehan, anda mungkin terlepas kemeruapan.

Sebaliknya, fokus secara berlebihan pada berita juga boleh menjejaskan anda. Sejurus selepas pengumuman, spread antara harga bid dan ask selalunya jauh lebih tinggi daripada biasa. Ini menyukarkan anda mencari kecairan untuk keluar dari posisi pada harga pilihan anda.

Untuk mengelakkan kesilapan perdagangan ini, ikuti berita dan peristiwa ekonomi terkini untuk mengetahui tentang perubahan terbaru yang berlaku dan bersedia untuk bertindak. Rangka strategi yang mengambil kira kemeruapan.

Untuk mengikuti perkembangan penting terkini yang mungkin menjejaskan perdagangan anda, pantau Kalendar Ekonomi dan Berita Forex.



6. Mengabaikan trend

Mengelak trend adalah satu kesilapan perdagangan yang serius. Berdagang melawan trend terlalu berisiko untuk para pemain baharu, terutamanya pedagang pemula. Selain itu, berdagang dengan trend adalah mudah. Apa yang anda perlu lakukan ialah masuk posisi dan mengekalkannya selagi ia menghasilkan wang untuk anda.

Pertama, anda perlu mengenal pasti arah trend untuk meraih manfaat daripadanya. Mengesan trend adalah mudah; hanya lihat sahaja carta dan lihat sama ada pasaran naik atau turun. Lihat cara orang lain menggunakan trend dan bertindak berdasarkan trend 4 jam atau lebih panjang untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang proses tersebut. Jangan menongkah arus. Biarkan diri anda dibawa arus.


7. Tidak menyimpan jurnal perdagangan

Sama ada beliau seorang pemula atau seorang profesional, setiap pedagang perlu berusaha meneliti dan membetulkan kesilapan perdagangan intrahari mereka. Merekodkan semua urusniaga anda, baik yang untung mahupun yang rugi, membantu anda bermuhasabah tentang tindakan-tindakan yang telah membawa kepada akibat yang kurang menyenangkan. Oleh itu, anda akan dapat menganalisis sekiranya strategi perdagangan anda sudah menjadi tidak relevan.

Jika anda mengabaikan analisis pasca dagangan, anda boleh bersiap sedia untuk menggulung tikar di pasaran Forex. Anda tidak boleh membuat pelan yang berkualiti untuk hari berikutnya jika anda tidak mengambil endah tentang kesilapan-kesilapan anda yang anda nampak dan faham bahawa ia satu kesilapan.

Jurnal perdagangan adalah baik untuk mendapatkan gambaran yang menyeluruh. Ya, ia mungkin membosankan, tetapi ia amat membantu kerana ia memberi anda gambaran tentang kekuatan dan kelemahan anda sebagai seorang pedagang. Merekodkan kegagalan dan kejayaan anda ialah cara yang bagus untuk mengkaji cara anda berdagang dan pasaran itu sendiri.

8. Masa yang salah

Anda semua tahu bahawa masa adalah wang. Ia adalah benar terutama sekali dalam perdagangan. Jika anda baru dalam pasaran Forex, jangan biarkan diri anda membuat keputusan berdasarkan gerak hati — beli dan jual berdasarkan perubahan harga yang dijangkakan. Rangka masa yang rendah bukan yang terbaik untuk membezakan trend harian. Anda boleh terlepas semua peluang baik untuk berjaya.

Adalah penting untuk menentukan rangka masa sebelum anda membuka posisi. Penentuan masa (timing) boleh membantu anda memahami sama ada suatu urusniaga akan berjaya atau tidak. Gunakan analisis teknikal dan fundamental. Itu akan membolehkan anda melihat pola-pola lazim dalam kesilapan anda.


9. Membiarkan emosi menguasai anda

Anda masih ingat adegan di dalam filem-filem yang menggambarkan pedagang menghempas komputer riba mereka apabila urusniaga mereka tidak berjalan seperti yang diharapkan? Sesetengah pedagang menyerah kepada perasaan panik dan mula bertindak secara tidak rasional, cuba untuk mendapatkan semula kerugian. Ketamakan dan panik membuatkan anda terlebih berdagang, berdagang secara agresif, atau menutup urusniaga yang menguntungkan terlalu awal. Sungguh pun begitu, emosi yang positif sekali pun seperti kegembiraan yang luar biasa lantaran dari kejayaan pesanan yang ditutup cemerlang boleh menjadi titik penghalang yang serius dalam perjalanan anda untuk mencapai kejayaan.

Untuk mengelakkan kesilapan berdagang secara emosional, jangan biarkan emosi anda mengatasi pemikiran. Mana-mana pasaran kewangan sekali pun sebenarnya ialah satu medan pertempuran sebenar di mana bull dan bear bertarung pada sekuriti dan harga pasaran saham. Pertarungan yang sama berlaku di dalam diri anda apabila anda melihat bahawa rancangan itu tidak berjalan seperti yang anda harapkan.

Sebarang jenis emosi adalah jalan pintas yang pantas ke arah kemiskinan. Belajar untuk menundukkannya. Kekal fokus pada gambaran besar dan tetapkan sasaran yang realistik. Anda tidak boleh menjadi seorang billionaire menjelang hari Jumaat.



10. Berdagang untuk keseronokan

Seperti yang dinyatakan di atas, perdagangan adalah perniagaan, dan matlamat setiap pedagang adalah untuk membuat wang. Tetapkan sasaran anda dan berusahalah untuk mencapai kebebasan kewangan anda. Jika anda berasa bosan atau tidak bernafsu untuk berdagang, berehatlah. Jangan biarkan filem Hollywood memperdaya anda. Berdaganglah dengan serius, dan ia akan mengupayakan anda untuk maju lebih dekat dengan impian anda.


Jika anda sudah pun menceburi dunia Forex, anda sudah bersedia untuk membuat keputusan yang ditimbang dengan teliti untuk naik sehingga ke puncak. Tetapkan fikiran anda untuk berjaya dan atasi semua halangan.


11. Berteka-teki dalam perdagangan

Salah satu kesilapan perdagangan yang perlu dielakkan ialah berteka-teki semasa berdagang dan tidak menggunakan analisis teknikal dan fundamental untuk memahami tingkah laku pasaran. Apabila pedagang mula-mula membuat keputusan untuk memulakan perdagangan, mereka biasanya hanya mempunyai idea yang samar-samar tentang apa sebenarnya yang diperlukan untuk berdagang. Pedagang baharu selalunya tidak mempunyai strategi atau pelan perdagangan; mereka tidak menggunakan indikator dan tidak mengikuti berita.


Apa yang akhirnya mereka lakukan ialah meneka. Mereka cuba meneka sama ada harga sekuriti akan naik dan membelinya jika mereka memutuskan sedemikian. Walau bagaimanapun, tanpa menggunakan perisian khas yang mengumpulkan data tentang keadaan pasaran semasa, “strategi” ini adalah sama dengan tingkah laku kaki judi yang mempertaruhkan wang mereka pada hasil yang rawak. Tetapi perdagangan adalah tidak rawak atau intuitif. Oleh itu, pendekatan seperti ini tidak berkesan dalam jangka panjang.


Untuk mengelakkan kesilapan perdagangan ini, para pedagang baharu harus memberi tumpuan kepada pendidikan diri mereka sendiri tentang perdagangan. Mempelajari perkara yang mempengaruhi pergerakan harga, cara menggunakan analisis teknikal dan fundamental, petanda yang datang sebelum penyongsangan trend, dan cara mengesan poin masuk dan keluar ialah perkara yang membantu pedagang untuk berurusniaga dengan jayanya. Perdagangan bukan permainan teka-teki, jadi mengetahui mekanisme di sebaliknya boleh membantu para pedagang mengelakkan perkara ini dan kesilapan-kesilapan perdagangan yang lazim yang lain.


12. Berdagang tanpa pesanan renti rugi

Pesanan renti rugi adalah alat penting yang digunakan pedagang untuk mengelakkan kerugian. Walau bagaimanapun, terdapat sejumlah besar pedagang baharu yang percaya bahawa mereka boleh bertahan tanpa pesanan renti rugi. Dari satu segi, ini mungkin berfungsi jika pedagang sentiasa memantau semua posisi terbuka. Tetapi pada kebanyakan masa, tahap perhatian dan pemantauan ini adalah mustahil untuk dicapai, terutamanya jika pedagang diganggu oleh dagangan yang lain. Ini boleh menyebabkan pedagang terlepas pandang apabila harga sekuriti jatuh, yang berkemungkinan besar akan mengalami kerugian yang besar dan tidak terkawal.


Pedagang boleh mengelakkan kesilapan perdagangan ini dengan mempelajari bagaimana Renti Rugi berfungsi dan cara menyediakannya untuk setiap dagangan mereka. Ini adalah bahagian yang kritikal dalam pengurusan risiko dan ia boleh menghalang kerugian yang tidak perlu daripada pergerakan pasaran yang tidak dijangka.


13. Membuka posisi besar

Salah satu kesilapan perdagangan yang perlu dielakkan ialah melaburkan semua atau sebahagian besar wang anda dalam satu perdagangan. Ini adalah cara yang pasti untuk mengalami kerugian yang lebih besar daripada yang mampu ditanggung oleh akaun anda, kerana strategi perdagangan yang diuji dengan baik sekalipun mungkin akan gagal. Dan oleh kerana pedagang baharu masih belum belajar bagaimana caranya untuk membangunkan strategi yang berjaya, membuat kesilapan sedemikian adalah lebih berbahaya bagi mereka.


Untuk mengelakkan kesilapan ini, pedagang baharu harus mencuba dan mempelajari cara mengendalikan urusniaga perdagangan mereka, sama ada dengan akaun demo atau posisi yang kecil-kecil. Buka beberapa urusniaga untuk melihat sama ada strategi anda berfungsi dan apa kadar kejayaan anda. Jika anda mendapat keputusan yang positif, anda boleh cuba untuk meningkatkan saiz posisi anda.


14. Mempunyai terlalu banyak urusniaga

Ada begitu banyak sekuriti untuk didagangkan sehingga pedagang baharu sukar untuk memberi tumpuan kepada satu sahaja. Ini, bagaimanapun, adalah salah satu kesilapan perdagangan yang lazim dalam perdagangan saham dan pasaran-pasaran lain. Membuka begitu banyak posisi bermakna pedagang perlu memantau beberapa carta yang berbeza pada masa yang sama. Melainkan mereka menggunakan perisian perdagangan automatik, adalah mustahil untuk mengikuti kesemua urusniaga tersebut dan ia boleh menghasilkan banyak urusniaga yang gagal.


Kesilapan ini mudah dielakkan dengan mengehadkan jumlah urusniaga yang anda buka dan berpegang pada strategi perdagangan anda. Ini akan membolehkan anda menumpukan hanya pada peluang yang boleh membawakan keuntungan kepada anda tanpa membuat urusniaga yang tidak perlu.


15. Menggunakan leveraj secara berlebihan

Leveraj sesungguhnya adalah pedang bermata dua. Di satu sudut, ia membolehkan pedagang meningkatkan saiz urusniaga mereka tanpa menggunakan banyak modal peribadi mereka. Di sudut yang lain pula, jika suatu urusniaga tidak berjalan seperti yang diinginkan, leveraj boleh memburukkan lagi kerugian pedagang, yang menyebabkan mereka mempunyai hutang yang besar untuk dikendalikan. Menggunakan leveraj yang keterlaluan, terutama sekali jika anda seorang pedagang baharu, boleh mengosongkan akaun anda sepenuhnya. Licin licau.


Walaupun ini adalah salah satu kesilapan perdagangan Forex yang paling lazim, anda boleh mengelakkannya dengan bermula dengan nisbah leveraj yang rendah, seperti 10:1, dan bukannya menggunakan leveraj yang tinggi (contohnya, 1000:1). Ini akan membantu anda belajar cara berdagang dengan leveraj tanpa mempertaruhkan modal anda. Kemudian, apabila anda berasa yakin, anda boleh meningkatkan nisbah leveraj tersebut secara beransur-ansur.


16. Terlibat dalam perdagangan dendam

Perdagangan dendam merujuk kepada tindakan membuka urusniaga baharu untuk menebus kerugian sebelumnya, sama ada untuk mendapatkan kembali wang anda atau untuk membuktikan kepada diri sendiri bahawa anda boleh menjadi seorang pedagang yang berjaya. Walau bagaimanapun, tingkah laku yang sangat merosakkan ini lebih kerap berakhir dengan kerugian yang lebih banyak. Jika anda mempunyai keinginan untuk membalas dendam di pasaran, anda terlalu menurut emosi dan tertekan untuk menganalisis pasaran dan membuat keputusan perdagangan yang munasabah.

Jika anda mendapati bahawa diri anda berada dalam situasi ini, perkara yang betul untuk dilakukan untuk mengelak daripada melakukan kesilapan perdagangan ini ialah untuk berhenti. Jika anda rasa ingin tahu tentang kerugian anda, anda harus berehat, belajar disiplin perdagangan, dan menganalisis kerugian anda sebelum kembali berdagang. Ini akan membolehkan anda bertenang dan mengelak dari melakukan lagi kesilapan yang sama.


17. Berdagang dalam berbilang pasaran sekaligus

Sekilas pandang, berdagang dalam beberapa pasaran berbeza sekaligus tampak seperti satu keputusan yang boleh membantu anda memperolehi lebih banyak keuntungan. Walau bagaimanapun, strategi ini salah satu kesilapan yang paling lazim dilakukan oleh pedagang baharu. Setiap pasaran memerlukan strategi dan pendekatan yang berbeza dan bertindak balas secara berbeza terhadap peristiwa yang sama. Berdagang di pasaran yang berbeza pada masa yang sama adalah sukar, terutamanya bagi pedagang baharu yang tidak tahu bagaimana cara untuk berdagang dalam satu pasaran dengan jayanya.

Adalah sangat penting untuk mengelak daripada berdagang dalam berbilang pasaran jika anda seorang pemula. Anda perlu terlebih dahulu mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang bagaimana satu pasaran berfungsi dan mendapatkan pengalaman perdagangan sebelum memasukkan pasaran lain ke dalam pelan perdagangan anda.


18. Cuba untuk mengejar trend lama

Pedagang baharu sering berkeinginan untuk memperdagangkan sekuriti atau pasaran yang telah menunjukkan prestasi yang kukuh sejak beberapa tahun yang lalu. Walau bagaimanapun, trend berpanjangan ini mungkin bakal berakhir tidak lama lagi, dan memperdagangkannya boleh membawa kepada akibat yang tidak menyenangkan.

Oleh sebab itu, adalah lebih baik jika para pemula cuba mencari trend terkini atau menunggu kemunculan trend baharu. Dengan berbuat demikian, mereka berpeluang untuk menemukan peluang perdagangan yang lebih stabil dan membantu mereka mengelakkan kerugian akibat trend yang sudah layu dan hampir mati.


Kesimpulan

Anda tidak boleh belajar menyanyi jika takut nyanyian anda sumbang. Akhir sekali, apabila bercakap tentang kejayaan, anda hanya akan bercakap tentang kemenangan anda, mengelak daripada menyebut tentang nasib malang dan kepayahan. Prinsip yang sama juga terpakai untuk pedagang. Perdagangan adalah satu seni, dan pedagang perlu menggilap kemahiran dan pengetahuan mereka untuk mengatasi halangan.

Walau bagaimanapun, mengapa membuat kesilapan jika anda boleh mengelakkannya, terutamanya apabila wang menjadi taruhan? Simpan jadual ringkasan ini agar anda sentiasa beringat untuk tidak melakukan kesilapan perdagangan dan mengelak dari rugi.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini