KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) memberi bayangan bahawa ia tidak bercadang untuk mengenakan peraturan baharu seperti meletakkan had ke atas hasil eksport dalam mata wang asing, demikian mengikut penganalisis.
Penganalisis by CGS-CIMB Securities Sdn Bhd, Nazmi Idrus, berkata cerminan yang diberikan bank pusat dinyatakan ketika ditanya penganalisis pada mesyuarat pasca Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengenai kemungkinan langkah untuk membendung kelemahan ringgit.
Beliau berkata, BNM turut menyatakan prospek pertumbuhan domestik, serta pembaharuan ekonomi akan memainkan peranan dalam menentukan nilai mata wang.
"Bank pusat nampaknya tidak terganggu dengan kelemahan ringgit baru-baru ini dan ia tidak mempunyai rancangan untuk melaksanakan dasar tambahan.
"Ini kerana BNM menyatakan dalam beberapa bulan akan datang, kerajaan akan mengumumkan beberapa keutamaan dasar termasuk dasar perindustrian baharu, kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2024.
"Langkah dasar itu seharusnya dapat membantu meningkatkan pandangan pasaran terhadap prospek bagi ekonomi Malaysia dan ringgit," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Nazmi berkata, CGS-CIMB Securities juga menjangkakan tiada lagi kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk sepanjang tahun ini menjadikan ia kekal pada 3.00 peratus.
Beliau berkata, keseimbangan risiko kepada pertumbuhan kini condong ke arah bawah, dengan
kemungkinan kelembapan global dijangka kelihatan lebih ketara daripada sebelumnya.
Katanya, ini terutamanya memandangkan kesan yang tidak kelihatan daripada pembukaan semula sempadan China.
"Kemerosotan dalam eksport baru-baru ini mungkin mengubah naratif BNM ke arah lebih neutral, sekurang-kurangnya sehingga eksport mula menunjukkan tanda peningkatan.
"Risiko ketidaktentuan politik yang lebih besar berikutan pilihan raya negeri mungkin memaksa BNM untuk mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat," katanya.
Nazmi berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) juga menurun kepada 2.8 peratus tahun ke tahun pada Mei (April: 3.3 peratus) dan boleh kekal dalam julat itu untuk 2023.
Beliau berkata, ia sebahagiannya dibantu oleh subsidi kerajaan yang berterusan, menjadikan kemungkinan BNM akan menaikkan kadar dasar pada masa hadapan adalah rendah.
Malah katanya, kenyataan MPC juga masih membimbing pendekatan bergantung kepada data.
"Di sudut sebaliknya, terdapat kemungkinan BNM menjadi lebih agresif di tengah-tengah pertumbuhan permintaan dalam negeri yang lebih mendadak, disokong oleh pasaran buruh yang kukuh dan aktiviti pelancongan yang mantap.
"Walau bagaimanapun, peratusan perkara ini untuk berlaku adalah rendah," katanya.