Harga emas jatuh ke paras paling rendah sejak Mac - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga emas jatuh ke paras paling rendah sejak Mac


BENGALURU: Harga emas berlegar menghampiri paras terendah sejak pertengahan Mac lalu, apabila terkesan oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh dan kenyataan agresif daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell.

Kontrak semasa emas jatuh 0.2 peratus kepada AS$1,903.19 seaun menjelang 0340 GMT, menghampiri paras rendah pertengahan Mac yang dicatatkan semalam.

Niaga hadapan emas AS jatuh 0.5 peratus kepada AS$1,911.70.

Indeks dolar lebih tinggi, menjadikan harga emas mahal bagi pemegang mata wang lain.

Kenyataan agresif Powell mengukuhkan bahawa kadar faedah meningkat lebih lama, dengan kos lebih tinggi untuk menyimpan emas, sekali gus mengurangkan daya tarikan logam berharga itu, kata Pakar Strategi Pertukaran Asing OCBC, Christopher Wong.

Powell mencadangkan kemungkinan besar dua lagi kenaikan kadar kepada kadar sasaran dana Fed, dan beliau tidak melihat inflasi berkurangan kepada sasaran dua peratus sehingga 2025.

Pelabur kini melihat potensi 81 peratus kenaikan kadar 25 mata asas pada Julai sebelum kadar kekal stabil untuk baki tahun ini, menurut alat Fedwatch CME.

Kadar faedah yang tinggi tidak menggalakkan pelaburan dalam emas.

Peserta pasaran kini sedang menunggu tuntutan awal pengangguran AS dan angka akhir keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama yang akan dikeluarkan lewat hari ini, bersama-sama dengan data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) untuk Mei pada Jumaat.

Penganalisis yang ditinjau oleh Reuters menjangkakan PCE teras, penanda aras inflasi yang digemari oleh Fed, adalah 4.7 peratus pada asas tahun ke tahun, jauh melebihi sasaran 2.0 peratus Fed.

Saham Asia lemah berikutan kadar faedah yang lebih tinggi, sementara yen dan yuan China bergelut untuk meningkat dari paras rendah di tengah-tengah kebimbangan campur tangan rasmi.

Aktiviti perkilangan China berkemungkinan menguncup untuk bulan ketiga berturut-turut pada Jun, walaupun pada kadar yang sedikit perlahan, demikian mengikut tinjauan Reuters.

Kontrak semasa perak berubah sedikit pada AS$22.71 seaun, manakala platinum meningkat 0.2 peratus kepada AS$912.52.

Palladium meningkat 0.6 peratus kepada AS$1,256.83 seaun, selepas mencecah paras terendah empat setengah tahun pada sesi sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini