Malaysia antara 10 negara catat lonjakan permintaan emas tertinggi dunia - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Malaysia antara 10 negara catat lonjakan permintaan emas tertinggi dunia


KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan ke-8 dengan permintaan emas tertinggi dunia tahun lalu, dengan lonjakan 25 peratus kepada 18.5 tan berbanding 14.9 tan pada 2021.

Menurut laporan Forex Suggest, Malaysia berada di belakang Turkiye, Russia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam, Iran dan Mesir dalam carta berkenaan.

Mesir unggul dengan lonjakan permintaan paling tinggi tahun lalu dengan 55 peratus membabitkan 52.7 tan emas, berbanding 34.1 tan yang dicatatkan pada 2021.

Selain carta berkenaan, Malaysia juga tersenarai pada kedudukan ke-7 negara dengan permintaan jongkong dan syiling emas tertinggi dunia.

Menurut laporan Forex Suggest, permintaan jongkong dan syiling emas di Malaysia melonjak kepada 5.8 tan tahun lalu berbanding 4.4 tan pada 2021.

Peningkatan permintaan sebanyak 27 peratus tahun ke tahun itu menyaksikan Malaysia berada di belakang, Vietnam, Singapura, Turkiye, Iran, Russia dan Mesir dalam carta permintaan jongkong dan syiling emas.

Dalam carta berkenaan, Mesir mengungguli kedudukan dengan lonjakan ketara 693 peratus kepada 19.2 tan jongkong dan syiling emas, diikuti Russia dengan 374 peratus.

Dalam carta permintaan barangan kemas emas pula, Malaysia berada pada kedudukan ke-5 dengan 24 peratus membabitkan 17.3 tan barang kemas.

Dari aspek pemilikan emas, Amerika Syarikat (AS) berada di kedudukan pertama sebagai negara emas dunia dengan skor 8.93 dari 10.

AS memiliki jumlah rizab emas di bank pusat tertinggi dengan 8,133 tan, diikuti Jerman dengan 3,355 tan.

Dari aspek perlombongan emas pula, China unggul di kedudukan pertama dengan pengeluaran 330 tan emas tahun lalu, dengan Australia dan Russia berkongsi kedudukan kedua (320 tan), diikuti Kanada (220 tan), AS (170 tan) dan Kazakhstan serta Mexico (120 tan).

Menurut Forex Suggest, pasaran emas global telah mencatatkan pemulihan ketara pasca pandemik berbanding dua tahun lalu.

Laporan itu menyebut, perlombongan dan pelaburan emas ketika ini berada pada had pasaran yang dianggarkan berjumlah AS$13.2 trilion (RM59.98 trilion), sekali gus menjadi berita baik kepada pengeluar emas terkemuka dunia.

"Dalam penyelidikan ini, kami akan menganalisis data Majlis Emas Dunia mengenai rizab emas bank pusat dan permintaan pengguna untuk barang kemas, pegangan ETF dan permintaan per kapita di peringkat antarabangsa.

"Dengan menyiasat penemuan ini, negara yang mempunyai rizab emas paling berharga akan didedahkan," katanya.

Forex Suggest berkata, memandangkan semakin ramai pakar dan pengguna kekal bimbang tentang potensi kemelesetan dan masa depan ekonomi yang tidak menentu, ramai yang mencari cara untuk melindungi diri dan simpanan mereka.

"Hidup dalam dunia yang berkembang hari ini dan ekonomi yang berubah-ubah, anda mungkin melihat pada kewangan dan pelan pelaburan anda. Melabur dalam emas adalah pilihan yang bijak dan boleh membantu memberikan kestabilan semasa masa ketidaktentuan.

"Ia adalah peluang yang baik untuk melindungi masa depan kewangan anda, serta mempelbagaikan portfolio pelaburan anda," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini