Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan unit negara maju itu kekal kukuh menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan minggu depan yang dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi, kata penganalisis.

Pada 6 petang Jumaat, mata wang tempatan berada pada 4.5600/5655 berbanding dolar AS daripada 4.5400/5465 sewaktu ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata pergerakan ringgit adalah seiring dengan kebanyakan mata wang Asia lain, menjejaki yuan China yang menerima tekanan baharu berikutan perbezaan hasil yang semakin meluas dengan AS dan isyarat pemulihan ekonomi yang tidak menentu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit lemah menjelang akhir sesi kepada 4.5623 selepas mencatatkan peningkatan mendadak sejak minggu lalu.

"Mungkin terdapat kombinasi aktiviti pengambilan untung dan kebimbangan yang meningkat terhadap ekonomi China yang dijangka menjurus kepada permintaan kepada dolar AS yang lebih tinggi. Indeks Dolar AS melonjak sehingga 100.69 mata hari ini, memberikan isyarat kembalinya permintaan terhadap dolar AS," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama semasa ditutup semalam.

Mata wang tempatan menokok berbanding euro kepada 5.0735/0796 daripada 5.0902/0975 semasa ditutup pada Khamis, meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2185/2229 daripada 3.2540/2589, namun merosot berbanding pound Britain kepada 5.8669/8740 daripada 5.8630/8714 sebelumnya.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Mata wang tempatan itu turun berbanding peso Filipina kepada 8.33/8.34 daripada 8.32/8.34 pada Khamis dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 303.4/303.9 daripada 302.9/303.5 sebelum ini.

Ringgit naik berbanding baht Thailand kepada 13.2327/2541 daripada 13.3525/3780 dan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.4304/4350 daripada 3.4324/4378 semalam. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini